KEMENANGAN selesa 3-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada malam Rabu, bukan saja mengekalkan penyandang juara Liga Super itu di puncak liga tetapi turut meleburkan rekod juara Piala Malaysia itu.
Skuad Harimau Selatan yang bertandang ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras mendahului pada minit ke-18 menerusi jaringan Fernando Frontieri, menjadikan kedudukan kekal 1-0 hingga tamat babak pertama perlawanan.
Beralih babak kedua, skuad City Boys yang buntu tanpa jaringan dihukum bermain dengan hanya 10 pemain selepas D Kenny Pallraj dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Leandro Velazquez.
JDT memperolehi gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bergson da Silva pada minit ke-81 sebelum menoktahkan kemenangan dengan gol ketiga dijaringkan Bergson pada masa tambahan.
Kemenangan JDT di stadium lawan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah tuan rumah di laman sendiri.
Pengendalinya, Benjamin Mora berpuas hati dengan kemenangan tersebut apatah lagi selepas berdepan persiapan yang cukup padat memandangkan kebanyakan pemainnya yang terlibat dengan skuad kebangsaan.
“Kami sangat gembira mendapat tiga mata dan teruja kembali beraksi sekarang sebab dah berehat agak lama disebabkan tugas bersama skuad kebangsaan.
“Jadi, kita tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih bersama tetapi sekarang kita berjaya melakukan tugas yang cukup baik.
“Tetapi mengenai rekod Kuala Lumpur, saya tidak terlalu kisah sangat mengenai rekod sebab bagi saya sejarah dan rekod tidak akan memberi kami mata, jadi kami hanya fokus untuk menang sahaja”, jelasnya.
JDT kini berkongsi sembilan mata dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram