KESALAHAN yang dilakukan pengadil perlawanan adalah perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana liga dan tidak mencerminkan mutu pengadilan liga berkenaan, kata Datuk Jamal Nasir.
Bekas pemain kebangsaan itu menyifatkan, kritikan berterusan yang diberikan kepada pengadil di negara ini sebagai tidak adil dan terlalu keras.
"Kita tak boleh nak cakap pengadil Malaysia ni tiada kualiti, mereka juga manusia biasa yang melakukan kesilapan... kadang-kadang mereka kena buat keputusan yang sangat pantas.
"Pada pendapat saya, pengadil dah buat yang terbaik, tapi kita punya liga pun belum sampai lagi ke tahap yang terbaik... jadi bila keadaan itu berlaku, maka semua sekali baik pengadil atau pengurusan, masih lagi belum berada di tahap terbaik.
"Benda ni tak boleh nak salahkan satu pihak sahaja," katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan terhadap mutu pengadilan dalam beberapa perlawanan Liga Super yang berlangsung minggu ini.
Antara perlawanan yang dicemari kontroversi termasuk ketika Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Sri Pahang FC yang menyaksikan kelab Pantai Timur itu dinafikan gol saat akhir yang dilihat sudah melepasi garisan gol.
Dalam perlawanan Kuala Lumpur City (KL) City melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT), penyokong kelab yang menjuarai Piala Malaysia itu mempertikaikan keputusan pengadil yang melayangkan kad merah terhadap Kenny Pallraj.
Mengulas lanjut tentang kualiti pengadilan, Jamal berkata, pelaksanaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) juga dilihat tidak akan menyelesaikan isu ini secara keseluruhan.
Tambahnya, walaupun liga-liga terkemuka Eropah melaksanakan penggunaan VAR, terdapat juga kontorversi yang berlaku sehingga menyebabkan pengadil turut dikritik.
Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pengadil boleh melakukan kesilapan seperti tekanan yang tinggi dan provokasi daripada para pemain.
Tambahnya, penyokong tidak harus terlalu pantas mengkritik mutu pengadilan memandangkan perjalanan liga baru sahaja bermula dan masih belum sampai separuh musim.
"Kalau asyik komen pengadil tak bagus lama-lama nanti tiada siapa yang mahu jadi pengadil. Takkan nak ambil pengadil import? Berapa banyak kos terpaksa ditanggung nanti.
"Sama juga macam VAR, siapa nak tanggung kos? Harga bagi satu set pun dah mahal. Walaupun liga kita capai tahap profesional, tapi kita kena akui masih ada lagi benda yang kita tak mampu capai.
"Isu gaji pun masih banyak lagi pasukan yang tak dapat selesaikan," katanya.
Justeru, Jamal berharap penyokong dapat memberi sokongan kepada pengadil supaya mereka dapat menjalankan tugas tanpa tekanan dari luar padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram