'Saya akan bongkar segalanya,' 27 Mac jadi tumpuan penyokong Perak FC


  • Podium
  • Khamis, 24 Mac 2022

PERAK FC berdepan kemelut yang tidak berkesudahan.

KEMELUT yang melanda Perak FC bagaikan tiada kesudahannya termasuk pemain kelab itu yang sudah dua bulan tidak menerima gaji.

Malah, pasukan itu turut dihimpit masalah tidak dibenarkan menandatangani pemain baharu, berikutan hutang berjumlah RM1.7 juta yang belum diselesaikan.

Ada juga laporan mendedahkan Perak FC bakal dibeli oleh pemilik baharu dalam waktu terdekat.

Susulan itu, sumber dalaman kelab penyokong Perak bertekad untuk membongkar isu yang melanda Perak FC.

Menurut sumber, sidang media yang bakal diadakan pada 27 Mac ini antara lain membongkar mengenai Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd.

Sumber berkata, pihaknya hairan apabila IMC yang hanya dilantik untuk menguruskan Perak FC turut mengambil tugas sebagai pencari dana bagi kelab itu.

"Jadi, apa kelayakannya untuk dilantik sebagai pencari dana Perak FC. Banyak lagi syarikat (yang layak) tetapi kenapa nak lantik IMC?

"Takkan IMC tak tahu berapa hutang yang ada. Bila dah sign kata ada hutang RM20 juta, sepatutnya RM6 juta sahaja," katanya kepada Majoriti.

Turut bakal didedah pada sidang media tersebut termasuk perkara berkaitan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan maklumat lanjut akan diberitahu kelak.

Terdahulu, laman Instagram dikenali sebagai Perak Tetap Dihati membuat pengumuman kepada seluruh penyokong Perak FC kerana ada perkara yang akan didedahkan.

Menerusi satu kenyataan, akaun tersebut mengajak ahli kelab penyokong Perak FC itu untuk berkumpul, selain turut mengajak wartawan untuk membuat liputan berhubung isu yang mahu dibongkarkan pada 27 Mac ini.

"Saya akan bongkarkan segalanya di depan semua. Nanti semua yang hadir menjadi saksi, diharapkan media nanti akan menulis cerita sebenarnya," katanya.

Bagaimanapun, lokasi sidang media itu masih belum ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram