CEO Perak FC jawab khabar angin pemilik baharu


  • Podium
  • Khamis, 24 Mac 2022

KRISIS melanda Perak FC sedikit sebanyak merencatkan persiapan pemain mereka pada musim ini. — Facebook/Perak FC

PELBAGAI khabar angin membabitkan Perak FC menghiasi media elektronik dan media massa sejak kebelakangan ini.

Kemelut yang melanda The Bos Gaurus itu berlarutan sejak musim lalu sehingga kini sehingga menyebabkan ramai pemain angkat kaki.

Isu tunggakan gaji masih menjadi 'barah' pasukan itu sehingga memaksa pemilikan Perak FC kerap bertukar tangan.

Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd sebagai pemilik Perak FC dalam perancangan untuk menjual kelab itu kepada pembeli berpotensi.

Perkara itu dinyatakan menerusi satu kenyataan media baru-baru ini.

Wujud dakwaan syarikat berpangkalan di Singapura, Riau Capital Live (RCL) bakal mengambil alih Perak FC.

Menjawab segala khabar angin tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, segala perbincangan tentang pemilik baharu masih berjalan dan tiada sebarang keputusan dicapai setakat ini.

"Kami dah terima sebahagian besar terma dan syarat yang dikemukakan oleh pembeli berpotensi, cuma ada beberapa perkara perlu diteliti lagi sebelum segalanya dimeterai.

"Apa-apa sahaja boleh berlaku. Buat masa ini, saya tidak boleh memberi sebarang jaminan selagi rundingan tidak selesai," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya berhubung identiti pemilik baharu Perak FC, Muhammad Yunus berkata, butiran itu tidak boleh didedahkan buat masa ini.

"Saya boleh sahkan bahawa khabar angin tentang RCL bakal mengambil alih Perak FC itu adalah tidak tepat.

"Saya tidak dapat surat tunjuk minat (LOI) dari Singapura atau Indonesia.

"Namun kalau ingin tahu tentang seberapa cepat proses pengambilalihan ini, kami secara realistiknya, mahu menyelesaikannya pada minggu depan.

"Saya tidak pasti sama pembeli berpotensi itu akan membuat pengambilalihan secara individu atau syarikat. Bentuk pengambialihan itu saya tidak pasti," ujarnya lagi.

Muhammad Yunus juga mengesahkan pembeli berpotensi itu sudah dimaklumkan tentang liabiliti Perak FC.

"Hutang Perak FC berjumlah RM11.8 juta. Daripada jumlah itu, lebih RM6 juta sudah berjaya dilunaskan.

"Dari segi undang-undang FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), pemilik baharu sesebuah kelab, perlu bertanggungjawab terhadap liabiliti kelab itu," menurutnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram