"SELANGOR tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dari pasukan lain."
Itu penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berhubung kenyataan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menurutnya, apa yang didedahkan Tunku Ismail mungkin ketika pasukan itu di bawah era kepimpinan terdahulu sebelum kepimpinan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
" Pihak kami tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada pesaing dalam saingan Liga Malaysia sejak empat tahun lalu.
"Kelab bola sepak Selangor mahupun Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di bawah kepimpinan RMS sejak 2018 tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada kelab lain untuk menguruskan pasukan itu," katanya menerusi ciapan di laman sosial miliknya pada Isnin.
Tambah beliau lagi, kantung kelab dijaga dengan berhemah dan pasukan menerusi tajaan dan meraih keuntungan hasil aktiviti pengkomersialan.
Johan Kamal mendedahkan perkara itu kerana terlalu ramai pihak khususnya dari kalangan penyokong skuad The Red Giant bertanyakan tentang isu itu selepas Tunku Ismail mengakui pernah membantu Selangor sebanyak dua kali.
"Memandangkan ramai yang bertanya, saya ingin jelaskan bahawa di bawah kepimpinan RMS sejak Julai 2018, Selangor tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dari pasukan lain.
"Dana kelab hanyalah daripada penaja rasmi dan aktiviti pengkomersialan sahaja," ujarnya.
Untuk rekod, sebelum pasukan Selangor diambil alih RMS pada 2018 lalu, bekas juara 33 Piala Malaysia itu pernah mengalami isu tunggakan gaji pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram