Pemilik baharu Perak FC tak jadi beli kelab lain?


  • Podium
  • Rabu, 23 Mac 2022

KEMELUT melanda Perak FC berkemungkinan akan berakhir selepas pemilikan kelab itu bertukar tangan. — Facebook/Perak FC

PERAK FC sebelum ini memaklumkan pemilikan kelab itu bakal bertukar tangan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut Pengerusi Eksekutif Perak FC, Khairul Nizam Mahmood, rancangan untuk menjual kelab berkenaan dilakukan susulan tekanan yang diterima daripada para pemain dan peminat.

Susulan itu, para peminat kelab itu tertanya-tanya identiti pemilik baharu Perak FC.

Malahan, peminat juga mahu mengetahui sekiranya pemilik baharu itu sanggup untuk melunaskan tunggakan gaji Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang didakwa kira-kira RM20 juta.

Wujud khabar angin mengatakan syarikat berpangkalan di Singapura merupakan pihak yang berminat mengambil alih Perak FC.

Syarikat tersebut adalah Riau Capital Live (RCL) yang dimiliki oleh hartawan serta ahli perniagaan Singapura, Bambang Sugeng Kajairi.

RCL merupakan salah satu syarikat di bawah Riau Capital Group yang bertumpu pada industri pelaburan, media dan hiburan.

Syarikat tersebut sebelum ini pernah mengadakan rundingan dengan sebuah lagi kelab Liga Premier, PDRM FC pada tahun lalu, namun difahamkan usaha itu menemui jalan buntu.

Difahamkan, syarikat itu sudah membeli 70 peratus pemilikan dalam Perak FC.

Sekiranya RCL rasmi membeli Perak FC, situasi berkemungkinan bakal berubah buat kelab itu kerana hutang sebanyak RM20 juta bukanlah satu amaun yang sedikit untuk dilunaskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram