TATKALA kelab Perak FC diselubungi masalah kewangan yang tidak berkesudahan sehingga ramai pemain angkat kaki dari pasukan itu, Kedah Darul Aman (KDA FC) pula meraih dana dengan menjual kepingan emas.
Sebanyak 1,000 keping emas dengan berat 0.5 gram berharga RM175 sekeping habis dijual dalam kalangan peminat KDA FC dan hasil jualan itu akan disumbangkan kepada pasukan Kedah FC.
Bagi pengguna Facebook dan peminat Perak FC, Ahmad Zulqurnain Ghazalli mengatakan langkah bijak itu seharusnya boleh dilakukan oleh pasukan kegemarannya untuk mengatasi kemelut kewangan.
TANGKAP layar hantaran pengguna Facebook, Ahmad Zulqurnain Ghazalli
Menurutnya, memegang satu jenama yang besar merupakan satu peluang yang seharusnya dimanfaatkan oleh pemilik pasukan bola sepak dek kerana sokongan dari peminat akan sudi melakukan apa sahaja demi skuad kegemarannya.
KEPINGAN emas dengan berat 0.5 gram berharga RM175 yang dijual oleh KDA FC.
Sebagai contoh, pasukan KDA FC berjaya mendapat hasil jualan sebanyak RM175,000 dengan masa 19 minit sahaja yang mana rata-rata pembelinya adalah penyokong tegar KDA FC.
"Campur tangan politik harus diletak tepi dan membiarkan pengurusan dijaga oleh pihak yang berkaliber.
"Kita tiada pemilik sekaya Tunku Mahkota Johor (TMJ). Tak perlu menyalahkan keadaan. Cari apa yang kita boleh kawal. Perak benar-benar kena belajar perkara ini.
"Selaku peminat asli Perak. Aku sedih melihat kemelut yang kewangan yang tak berkesudahan. Dari satu pasukan yang disegani menjadi pasukan yang carca merba," katanya.
Dalam pada itu, dia juga mencadangkan Perak FC perlu segera memikir dan melaksanakan idea baharu untuk kembali ke landasana yang benar.
Malah, menurutnya, jika pasukan Perak memerlukan sesi perbincangan meja bulat (round table discussion) bersama anak muda negeri itu pastinya ramai yang akan menghulurkan tangan untuk membantu memberikan idea yang bernas dan kreatif.
"Jika perlu keluarkan sehelai kertas Business Model Canvas maka lakukanlah.
"Jika perlu sesi RTD bersama anak muda Perak. Lakukanlah. Ramai anak muda Perak yang kreatif dan sedia membantu," menurutnya.
Terdahulu, pasukan The Bos Gaurus itu terpalit dengan isu tunggakan gaji dalam kalangan pemain serta pengurusan mereka dan pemain mereka jufa difahamkan alami isu tunggakan bayaran rumah sewa bagi ketiga-tiga skuad Liga Premier, Piala Presiden dan juga Piala Belianya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram