KEMELUT membabitkan Perak FC yang berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan kakitangan mengundang kecaman daripada para penyokong kelab berkenaan.
Sinar yang diharapkan ketika Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd mengambil alih Perak FC untuk melunaskan segala tunggakan, tidak terjadi sehingga kini.
IMC sebelum ini menjelaskan akan melunaskan tunggakan gaji para pemain menjelang hujung Mac.
Namun, menerusi satu kenyataan pada Isnin, pengurusan Perak FC mengesahkan kelab itu akan bertukar tangan sekali lagi dan IMC bakal menjual semua pemilikannya.
IMC sebagai pemilik kelab juga gagal menjelaskan keadaan sebenar kepada para peminat tentang situasi sebenar yang berlaku di belakang tabir.
Menurut sumber dalaman kelab penyokong Perak FC yang enggan didedahkan identitinya, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menjual IMC dengan nilai berjumlah RM12 juta.
Namun dedah sumber berkenaan, PAFA sebaliknya tidak berterus terang tentang jumlah sebenar hutang yang ditanggung oleh persatuan itu.
"PAFA cakap hutang hanya ada RM6 juta. Apabila IMC ambil alih, tengok-tengok hutang kira-kira RM20 juta.
"PAFA pun tak bolehlah tipu IMC beritahu hutang sebanyak RM6 juta.
"Saya rasa IMC perlu jelaskan keadaan ini kepada para peminat, apabila berdiam diri, ramai yang marah," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, timbul khabar angin bahawa pemilik baharu Perak FC berpangkalan di Singapura dan sudah membeli 70 peratus pemilikan kelab tersebut.
Ujar sumber tersebut, dia harap berharap pemilik baharu kelak akan membersihkan segala hutang lama Perak FC.
"Pemilik baharu kena kukuh, baru boleh beli Perak kerana hutang kelab terlalu banyak," ujarnya.
Majoriti sedang mendapatkan respons dari IMC dan PAFA berhubung dakwaan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram