TMJ bantu zaman Selangor masih hebat, 'champion'


  • Podium
  • Selasa, 22 Mac 2022

TMJ bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

PEMILIK Kelab Bola Sepak, Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menjelaskan beliau pernah membantu Selangor dari segi kewangan termasuk ketika skuad itu di bawah naungan Datuk Subahan Kamal.

"Saya memberi bantuan pada masa Datuk Subahan dulu. Zaman-zaman Selangor masih hebat dan champion.

"Sekarang ni semenjak Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) ambil alih dengan expert (pakar) bola sepak tanah air, dan terima banyak bantuan duit daripada kerajaan maka mereka tak perlu bantuan. Syabas saya ucapkan," titah Tunku Ismail menerusi satu ciapan di Twitter pada Isnin.

276138843_4567347843369207_500569489491365602_n

CIAPAN balas TMJ terhadap isu bantuan kewangan kepada skuad bola sepak Selangor. — Twitter

Ciapan itu adalah sebagai respons terhadap ciapan seorang pengguna Twitter @shamienhereyo yang memohon pengesahan TMJ berhubung satu ciapan lain daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.

Menerusi ciapan itu, Johan yang menggunakan nama @johanhamidon berkata bahawa Selangor tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dari pasukan lain.

"Memandangkan ramai yang bertanya, saya ingin menjelaskan bahawa di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor sejak Julai 2018, Selangor tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dari pasukan lain.

"Dana kelab hanyalah daripada penaja rasmi dan aktiviti pengkomersialan sahaja," kata twit itu.

TMJ sebelum ini menerusi satu sidang media mendedahkan beliau membantu beberapa pasukan di Malaysia antaranya Kelantan dan Penang yang berdepan krisis kewangan termasuk isu tunggakan gaji yang katanya sentiasa menjadi penyakit tiap musim dalam Liga Malaysia.

TMJ juga mendedahkan beliau ada memberi sedikit sumbangan kepada pengurusan Perak FC untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan itu.

Media tempatan sebelum ini melaporkan pemain Perak sudah dua bulan tidak menerima gaji. Mereka turut dihimpit masalah tidak dibenarkan menandatangani pemain baharu ekoran hutang berjumlah RM1,773,532.50 yang belum diselesaikan.

“Dalam karier saya terbabit dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong. Cuma saya tak bagi tahu media sahaja.

“Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Penang sekali serta Melaka.

“Isu gaji PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu, kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram