KEMELUT membabitkan pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali mencetuskan polemik dalam kalangan para peminat tempatan.
Ada para peminat mempertikaikan tindakan Rizal yang membisu selama beberapa hari tanpa memberikan alasan kukuh tentang penolakannya menyertai kem latihan pusat pasukan kebangsaan.
Pada Sabtu, Rizal menjawab segala persoalan bermain di minda penyokong apabila memuat naik foto bapanya yang sedang menerima rawatan di hospital menerusi Instagram miliknya.
Pemain berkenaan pada mulanya dicalonkan sebagai pengganti kepada Syahmi Safari yang baru menimang cahaya mata.
Namun ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon memutuskan untuk memanggil pemain pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Khuzaimi Piee.
Mengulas lanjut tentang kemelut tersebut, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar memaklumkan pihaknya sudah menerima surat penjelasan daripada Rizal.
"Kita akan mengadakan perbincangan berkaitan kes ini dengan pengurusan pasukan kebangsaan.
"Tentang denda dan penggantungan terhadap Rizal, kami akan berbincang dengan pihak pengurusan dulu. Masih belum ada kata putus.
"Kemungkinan Rizal tidak akan dipanggil lagi, perkara itu juga belum diputuskan," katanya kepada Majoriti.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumkan hukuman penggantungan perlawanan domestik dan denda bakal dikenakan kepada Rizal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram