SELEPAS beberapa hari mendiamkan diri, akhirnya pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali mendedahkan punca dia menarik diri daripada kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Dalam satu hantaran di Instagram miliknya pada Sabtu, Rizal memuat naik foto bapanya yang menjalani rawatan di hospital.
"Semoga sihat seperti biasa, jauh mana pun tetap anakmu berdoa, amin," katanya.
Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini dilaporkan disenaraikan sebagai pengganti kepada Syahmi Safari yang meminta pengecualian kerana baru menimang cahaya mata.
Namun, tindakan Rizal itu disifatkan kurang profesional bagi individu bergelar atlet sukan.
Menurut seorang jurulatih kecergasan, Iskandar Salleh, situasi yang dialami oleh Rizal ketika ini merupakan asam garam perlu dihadapi sebagai seorang atlet profesional.
"Ini pengorbanan atlet sebagai profesional. Benda-benda ini kau kena hadapi.
"Tak sanggup? Jangan jadi atlet profesional.
"Bunyi agak kejam tapi kau duduk menunggu dekat hospital itu tak boleh baik cepat.
"Sama macam isteri baru bersalin, bukan kau yang susukan anak itu. Baik fokus pada latihan," katanya menerusi satu ciapan di Facebook.
RIZAL (kiri) sepatutnya menggantikan Syahmi yang baru menimang cahaya mata. — Facebook
Menjengah ruangan komen di hantaran tersebut, pengguna Facebook, Azraie Fikrey Ehsan berkata, tindakan Rizal menolak tawaran Harimau Malaya merupakan sesuatu yang positif.
"Benda yang positif adalah memberi peluang kepada beberapa lagi yang berada dalam senarai menunggu.
"Bek kanan dalam Malaysia bukannya tak ada yang setanding, malah ada yang lagi bagus," ujarnya.
Sementara itu, bagi pengguna Facebook, Ruzaini Nordin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunjukkan sikap tidak profesional dalam mengendalikan isu Rizal.
"Benda kecil pun nak beritahu pada media, serupa nak bagi orang ramai kecam Rizal.
"FAM panggil sahaja dan Rizal tolak terus, tak kira buang masa.
"Bukan dia terima, lepas itu tak muncul-muncul. Kalau macam itu, baru buang masa orang lain bagi saya.
"Rizal terus cakap tak nak, kemudian Kim Pan-gon (ketua jurulatih Harimau Malaya) terus panggil pengganti," menurutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram