'Dengar dulu alasan Rizal'


  • Podium
  • Khamis, 17 Mac 2022

RIZAL (tengah) tidak memberikan sebarang alasan kukuh berhubung penolakan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan. — Facebook

TINDAKAN pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali yang menolak untuk menyertai kem latihan pusat pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon mencetuskan reaksi kurang senang para peminat bola sepak tanah air.

Rizal yang sepatutnya menggantikan tempat Syahmi Safari, menolak panggilan Harimau Malaya tanpa sebarang alasan kukuh.

Syahmi dilaporkan memohon pengecualian susulan isterinya melahirkan bayi kembar tiga dan tempatnya digantikan dengan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Khuzaimi Piee.

Para peminat dikatakan kecewa kerana masih ada pemain dilihat memandang ringan tugasan pasukan kebangsaan di saat Harimau Malaya cuba bangkit daripada prestasi buruk ketika Piala Suzuki AFF 2020.

Rizal diberikan tempoh sehingga 21 Mac untuk melaporkan diri sekiranya enggan digantung daripada perlawanan domestik dan denda sebanyak RM25,000.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mendengar dulu alasan daripada Rizal sebelum mengenakan sebarang tindakan.

"Kalau pemain terbabit menolak menyertai pasukan kebangsaan tanpa sebab-sebab yang dipersetujui oleh pengurusan pihak FAM, maka tindakan tegas perlu diambil ke atas pemain," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya tentang kewajaran hukuman penggantungan seumur hidup kepada Rizal, Hairuddin berkata, tindakan itu terlalu berat untuk dilaksanakan.

"Kalau tiada alasan kukuh, mungkin hukuman gantung untuk beberapa perlawanan yang melibatkan kelab boleh dikenakan," ujarnya.

Sebelum ini, ada peminat yang mahu pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa turut dikenakan hukuman oleh FAM kerana pernah menolak untuk bermain dengan Harimau Malaya.

"Sepatutnya hukuman sama yang ingin dikenakan oleh Rizal, perlu dibuat terhadap Natxo.

"Namun nama Natxo tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan," jelas Hairuddin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram