'Jauh mana pun tetap anakmu berdoa' — Rizal Ghazali


  • Podium
  • Sabtu, 19 Mac 2022

RIZAL Ghazali kini beraksi bersama pasukan Sabah FC.

SEKIAN lama menyepi selepas kemelut menolak panggilan menyertai skuad kebangsaan, pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali akhirnya 'memberi jawapan' menerusi media sosial.

Menerusi satu status di akaun Instagram miliknya, Rizal memuat naik gambar ayahnya yang kini sedang dirawat di hospital.

"Semoga sihat seperti biasa, jauh mana pun tetap anak mu berdoa, amin. #ayah," tulisnya pada kapsyen gambar itu.

Dalam pada itu, peminat di ruangan komen juga menyatakan bahawa faktor kesihatan ayahnya yang mungkin menyebabkan dia menolak panggilan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Terdahulu, Rizal yang sepatutnya menggantikan tempat Syahmi Safari, membuat keputusan untuk menolak panggilan menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya tanpa memberi sebarang alasan.

“Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah, Rizal Ghazali menolak pelawaan," kata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan tindakan Rizal menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Katanya, ia berikutan latihan skuad Harimau Malaya tersebut diadakan luar dari tarikh Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA dengan tiada sebarang tindakan boleh diambil terhadap pemain pertahanan itu.

Dalam pada itu, pengurusan Sabah FC sebelum ini juga menyatakan akan menasihati Rizal untuk memberi penjelasan terperinci kepada FAM berikutan menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Disebabkan tindakan 'membisu' Rizal, segelintir peminat menyatakan rasa kurang senang dengan sikap pemain yang menolak untuk menyertai tugasan bersama pasukan kebangsaan.

Peminat juga kecewa kerana masih ada pemain yang memandang ringan mengenai tugasan bersama pasukan negara tatkala Malaysia sedang cuba bangkit selepas menampilkan prestasi buruk dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 serta berada di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Kim Pan-gon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram