Rizal tolak panggilan Harimau Malaya, 'Itu hak dia'


  • Podium
  • Khamis, 17 Mac 2022

RIZAL (kanan) masih membisu tentang tindakannya gagal melaporkan diri bersama skuad kebangsaan. — The Star

'KEHILANGAN' pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali yang menolak panggilan pasukan kebangsaan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan para peminat bola sepak tanah air.

Rizal berkemungkinan dikenakan hukuman yang berat selepas tidak memberikan sebarang notis dan alasan yang kukuh susulan tindakannya itu.

Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan kurang senang apabila Rizal tidak menunjukkan sebarang surat rasmi atau bukti hitam putih menerangkan sebab untuk dikecualikan daripada pasukan kebangsaan.

Rizal diberikan tempoh sehingga 21 Mac untuk melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan selanjutnya daripada FAM.

Pemain berusia 30 tahun itu boleh dikenakan hukuman berbentuk denda dan digantung menyertai pertandingan domestik serta antarabangsa.

Namun bagi ketua jurulatih Sarawak United, B Sathianathan, sekiranya seseorang pemain itu tidak mahu bermain bersama pasukan kebangsaan, itu adalah hak pemain berkenaan.

"FAM tidak boleh gantung. Mungkin dia rasa tak layak (untuk bermain bersama skuad kebangsaan) atau ada masalah peribadi.

"Kalau dia dah tak minat, jangan panggil dia lagi, bagi peluang kepada pemain muda.

"Ramai lagi pemain yang sanggup berjuang untuk skuad kebangsaan. Tak perlu panggil lagi pemain yang tak berminat menyarung jersi Harimau Malaya.

"Mengapa perlu paksa Rizal datang menyertai skuad kebangsaan? Dia mungkin tak akan beri komitmen 100 peratus di atas padang kerana dipaksa untuk datang," katanya kepada Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram