Pemain mula memberontak, Man United serius mahu pecat Solskjaer


  • Podium
  • Isnin, 08 Nov 2021

SOLSKJAER dilaporkan bakal dipecat sebagai pengurus Man United pada bila-bila masa. — Agensi

OLE Gunnar Solskjaer dilaporkan bakal dipecat pengurusan kelab Manchester United pada bila-bila masa apabila kem pemain dilaporkan semakin berantakan di Old Trafford.

The Mail melaporkan, beberapa pemain senior seperti Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes mula menyuarakan kebimbangan berhubung hala tuju dan corak taktikal barisan kejurulatihan Solskjaer meskipun pengurusan Man United sebelum ini dilaporkan mahu mengekalkan khidmat pengurus kelahiran Norway itu untuk sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini.

Pemain juga dilaporkan kurang gembira dengan layanan yang diberikan Solskjaer terhadap Donny Van De Beek yang kerap memanaskan bangku simpanan musim ini.

Difahamkan, pengurusan The Red Devils kini terdesak memburu pengganti sebelum menamatkan kontrak Solskjaer, jadi sebab itulah beliau masih belum dipecat di sebalik prestasi buruk Man United musim ini.

Pada mulanya, Man United dikhabarkan mahu melamar Antonio Conte, namun kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat sebelum pengendali kelahiran Itali itu menyertai Tottenham Hotspur.

The Red Devils juga dilaporkan mahu mendapatkan tandatangan pengendali RB Leipzig, Ralf Rangnick namun permintaan pengurus itu yang mahu ditawarkan jawatan sebagai Pengarah Bola Sepak Man United pada masa depan dilihat sukar untuk dipenuhi.

Eric Ten Hag pula dilaporkan kurang bersedia untuk meninggalkan Ajax pada pertengahan musim sementara Brendan Rodgers juga antara nama yang disebut-sebut menggantikan Solskjaer meskipun peminat Man United lebih suka seandainya Zinedine Zidane yang tiba di Old Trafford.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, kedudukan Solskjaer sebagai pengurus Man United dilaporkan masih selamat sehingga selepas aksi rehat antarabangsa apabila dijadualkan berdepan Watford di tempat lawan pada 20 November. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram