PENYERANG Atletico Madrid, Luis Suarez teruja dapat kembali semula ke Anfield menjelang pertemuan berdepan Liverpool dalam aksi Kumpulan B kempen Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.
Selepas meninggalkan The Reds pada 2014 yang menyaksikan antara yang terbaik dalam kariernya sebagai pemain bola sepak, Suarez pernah dipuja peminat Liverpool kerana dia memberikan segala-galanya untuk kelab itu semasa berada di sana.
“Sungguh menakjubkan melihat suasana di Anfield,” kata pemain Uruguay itu.
“Menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris adalah sesuatu yang luar biasa, begitu juga peluang untuk merealisasikan salah satu impian saya untuk berada di sana dan merasai kasih sayang peminat Liverpool sejak minit pertama.
“Mereka dapat melihat komitmen saya, keinginan saya untuk memastikan Liverpool terus berada sebagai salah satu pasukan elit bola sepak,” tambah Suarez.
Tanpa berselindung, Suarez mengakui pernah kecewa semasa menyarung jersi The Reds sebelum ini.
“Memang benar bahawa kami mempunyai beberapa tahun apabila kami tidak berada di tempat yang kami mahukan.
“Tetapi penyokong melihat sikap saya, maka itulah sebab wujudnya hubungan itu... kasih sayang antara kami – ia adalah antara saya dan peminat.
“Ia sukar dipercayai dan ia memberi saya motivasi tambahan untuk bermain di Anfield,” kata Suarez.
Mengulas mengenai pertemuan berdepan bekas pasukannya awal pagi Khamis, Suarez menyifatkan Liverpool memang lawan yang hebat.
"Mereka ada kelemahan yang wajar dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kami atas padang nanti.
"Jika gagal untuk fokus dan tiada kesungguhan untuk memenangi aksi berdepan skuad berpengalaman seperti Liverpool di pentas Liga Juara-Juara, ia sememangnya perlu dibayar dengan harga mahal," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram