Kes bunuh Zulfarhan: 18 penuntut UPNM didapati bersalah, terlepas hukuman gantung kerana bunuh tanpa niat


SERAMAI enam penuntut UPNM didapati bersalah menyebabkan mencederakan tanpa niat membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu. — Gambar fail/Bernama

SERAMAI 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain empat tahun lalu, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusan itu berkata, enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Bagaimanapun, mereka terlepas daripada hukuman gantung kerana hakim mendapati kesemua tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh.

ALLAHYARHAM Zulfarhan Osman

"Mahkamah berpuas hati bahawa tekanan seterika wap pada badan telah menyebabkan kematian mangsa tetapi ini tidak bermaksud untuk membunuh.

"Keenam-enam daripada kamu, dengan niat bersama dan bersubahat dengan tertuduh keenam, telah bersama-sama menyebabkan kecederaan ke atas si mati tanpa niat membunuh," katanya.

Azman berkata, berdasarkan pembelaan, kes itu dibuktikan mengikut unsur Seksyen 299 Kanun Keseksaan.

Seksyen 304 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Sementara itu, 12 yang lain pula didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan arwah.

12 lagi pula ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

“Pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di mana pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya terhadap mereka.

“Kamu semua didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada si mati untuk mendapatkan pengakuan daripadanya,” kata beliau. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram