Gomez perlu kerja keras jika mahu jadi kesebelasan utama — Klopp


  • Podium
  • Sabtu, 30 Okt 2021

GOMEZ disisihkan selepas mengalami kecederaan ACL musim lalu. — Reuters

BOS Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan bahawa pemain pertahanan, Joe Gomez perlu terus bekerja keras jika ingin mendapatkan semula tempatnya dalam pasukan, dan mengakui perkara itu tidak mudah.

Bukan sahaja terpaksa bergelut untuk kembali ke tahap kecergasan sepenuhnya selepas kecederaan ACL jangka panjang musim lalu, Gomez kini terpaksa bersaing untuk mendapatkan tempatnya semula daripada Joel Matip serta rekrut baharu, Ibrahima Konate.

Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini menjadi gandingan tetap di bahagian pertahanan tengah bersama Virgil van Dijk ketika musim Liverpool memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris.

Tetapi, dia masih belum memulakan perlawanan liga musim ini, hanya tampil dua kali dari bangku simpanan, manakala dua daripada tiga permulaannya adalah dalam aksi Piala Carabao.

Menurut laporan media, Gomez bimbang kekurangan masa bermain akan menjejaskan peluangnya beraksi bersama England dalam Piala Dunia 2022 tahun depan.

Gomez telah memaklumkan kekecewaannya kepada Klopp, seperti yang pernah dilakukan pada 2019 sebelum pengurus itu meletakkannya dalam kesebelasan utama.

Setakat ini, pemain itu tidak mempunyai perancangan untuk meninggalkan Anfield, tetapi dia mungkin akan mempertimbangkan perkara itu jika keadaan kekal sama menjelang Januari.

Mengulas mengenai perkara itu, Klopp berkata, kelab terpaksa membawa masuk seorang pemain pertahanan pada jendela perpindahan lalu disebabkan kecederaan yang berlaku.

“Ia bukan mudah. Itu jelas. Tetapi ia sentiasa jelas bahawa dalam situasi kami, kami perlu membawa masuk pemain pertahanan, kami semua bersetuju.

“Joey tidak banyak bermain, begitulah keadaannya, dia mengalami kecederaan jangka masa panjang. Kami perlu berurusan dengannya dengan intensiti dan kini, kami belum sampai separuh musim dan kami bercakap mengenai perkara ini.

“Semoga tiada kecederaan tetapi itulah kehidupan seorang pemain bola sepak. Anda harus berada di puncak permainan pada saat anda masuk. Satu-satunya perkara yang boleh anda lakukan ialah terus bekerja keras,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

joe gomez, liverpool, jurgen klopp, epl, england