BILA dengan rakan sekerja mesra, tetapi bila melayan pelanggan sombong dan kasar. Itu antara luahan seorang pengguna laman sosial Facebook tentang sikap segelintir penjawat awam yang berkhidmat di kaunter urusan.
Pentadbir (admin) akaun, Orang Kampung Kita berkongsi luahan bernama pena, Rakyat Awam sebagai respons terhadap satu ciapan di Twitter milik @qirararara.
Berkongsi cerita mendapat layanan kurang menyenangkan di kaunter urusan, awalnya Rakyat Awam menyangka penjawat awam di Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (tidak dinyatakan lokasi) mempunyai 'angin baik'.
Dia berasa demikian kerana terdengar penjawat awam yang menjaga kaunter itu sedang ketawa semasa berborak bersama rakan sejawat.
"Tiba giliran dipanggil, aku cuba menyapa mesra dengan memberi salam.
"Terkejut aku, rupanya mereka hanya mesra sesama penjawat tetapi dengan pelanggan mereka sangat sombong dan kasar, walhal hanya mahu perbaharui lesen sahaja," tulisnya.
Tambahnya, sejak hari itu, jika urusan 'kerajaan' boleh dilakukan secara dalam talian, dia akan memilih opsyen itu berbanding ke kaunter.
Perkongsian luahan itu mendapat respona pelbagai daripada warga Facebook yang memberi lebih 1,600 reaksi dan dikongsi semula sebanyak lebih 2,400 kali.
Ada di antara mereka yang berkongsi pernah berdepan situasi sama, malah ada juga yang menyangkal dengan menyatakan bahawa tidak semua penjawat awam bersikap sedemikian.
Tidak terkecuali ada juga yang meninggalkan komen menceritakan tentang realiti pengurusan di cawangan jabatan kerajaan yang disifatkan tidak efisien, malah menyusahkan orang awam.
Jika tiada angin masakan pokok bergoyang, luahan ini merupakan pengalaman masyarakat dan ia perlu diambil perhatian kerana penjawat awam adalah golongan yang mencerminkan identiti kerajaan di negara ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram