LIVERPOOL dilaporkan sudah memulakan usaha memancing pemain muda Sporting Lisbon, Pedro Goncalves bagi mengatasi krisis di bahagian tengah The Reds musim ini.
Jentera tengah skuad kendalian Jurgen Klopp dilihat kurang menyengat pada permulaan musim terutamanya selepas kecederaan Naby Keita, Fabinho dan James Milner.
Perancang muda, Curtis Jones pula dilihat masih tidak dapat memikul beban tanggung jawab dengan baik bagi mengemudi jentera tengah The Reds, justeru kehadiran Pedro dilihat bakal menyelesaikan masalah berkenaan.
Disebut-sebut sebagai bintang dalam pembikinan Portugal, Pedro, 23, yang juga protege Bruno Fernandes kini cukup cemerlang membantu Lisbon apabila meledak 23 gol musim lepas sekali gus menamatkan penantian 19 tahun kelab Portugal itu mendakap trofi liga domestik musim lepas.
Ketiadaan Fernandes yang berhijrah ke Man United sebelum ini juga tidak begitu diratapi peminat Lisbon gara-gara kecemerlangan yang dipamerkan Pedro meskipun usianya masih muda termasuk meledak satu gol ketika berdepan Besiktas dalam aksi Liga Juara-Juara musim ini.
Namun, usaha Liverpool mendapatkan tandatangan Pedro dilihat tidak semudah dijangka kerana dilaporkan terdapat klausa pelepasan kontrak bernilai £68 juta (RM 385 juta) yang perlu ditebus The Reds.
Pada masa sama, Pedro juga dilaporkan telah menandatangani kontrak baharu untuk kekal di Lisbon sekurang-kurangnya selama semusim lagi.
Begitupun, kreativiti Pedro yang berupaya beraksi dengan baik sebagai penyerang dan pemain sayap juga amat dikagumi Klopp, sekali gus dilihat calon paling sesuai jika Sadio Mane dan Mohamed Salah membuat keputusan untuk meninggalkan Anfield selepas ini.
Tidak mustahil, pihak pengurusan The Reds sanggup 'pecah tabung' semata-mata mahu mendapatkan khidmat protege Bruno Fernandes itu ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula Januari depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram