Lepaskan Conte ke Spurs tindakan tak masuk akal Man United


  • Podium
  • Selasa, 02 Nov 2021

CONTE pernah memenangi EPL pada musim 2016/17 ketika membimbing Chelsea. — AFP

SELEPAS memecat Nuno Espirito Santo daripada tugasnya sebagai pengurus kelab pada Isnin, Tottenham Hotspur dengan pantas mencari pengganti kepada jurulatih Portugal itu.

Tidak sampai 24 jam selepas pemecatan, kelab utara London itu dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan bekas pengurus Inter Milan, Antonio Conte.

Ironinya, Spurs hanya mendapatkan Conte disebabkan Manchester United, kelab yang sentiasa dikaitkan dengannya sejak beberapa bulan lalu, mempamerkan aksi yang tidak dijangka untuk menewaskan Tottenham 3-0 pada Ahad.

Kini, kelab Manchester itu mungkin berasa terpaksa untuk terus 'setia' dengan Solskjaer dan melihat sahaja Tottenham merampas pengganti ideal kepada pengurus Norway itu. Tidak dapat dinafikan, United sememangnya bodoh untuk berbuat demikian.

Sepanjang 11 musim penuhnya sebagai pengurus, Conte telah memenangi tidak kurang daripada enam kejuaraan liga di Itali dan England.

Walaupun pengurus Itali itu mungkin tidak mempunyai kejayaan di Eropah seperti jurulatih lain yang sebaris dengannya, dia dikenali sebagai pakar dalam membawa keputusan dan memenangi piala dalam kempen liga.

Walaupun musim terakhir Conte di Chelsea tidak berjalan mengikut perancangan, purata mata yang diperolehinya setiap perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah 2.14 - jauh lebih tinggi berbanding purata mata Solskjaer bersama United iaitu 1.66.

Jika United mahukan pengurus yang akan membimbing mereka kembali ke puncak liga, mereka akan bergelut untuk mencari pakar yang lebih layak daripada Conte.

Kebimbangan terhadap Conte yang mahukan terlalu banyak kawalan ke atas dasar perpindahan kelab seharusnya menjadi sesuatu yang disukai penyokong, yang telah menyaksikan kelab itu membazirkan banyak wang dalam pasaran perpindahan selama bertahun-tahun.

The Red Devils telah membelanjakan wang yang banyak di bawah kendalian Solskjaer tetapi apa yang mereka dapat adalah pasukan yang dibarisi bintang-bintang hebat, tetapi tidak tahu cara untuk menutup ruang apabila diserang atau mengawal perlawanan.

Jika Conte dibenarkan membawa masuk pemain yang dimahukan, dia akan segera membina pasukan yang mampu memenangi perlawanan dan kejuaraan liga. Ia mungkin tidak termasuk Cristiano Ronaldo atau bintang lain yang tidak diperlukan, tetapi skuadnya pasti akan berfungsi dengan baik dan sukar untuk ditewaskan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram