SEMAKIN hari semakin banyak perkembangan dan pencapaian dunia seni tanah air dalam melakar nama di dalam mahupun di luar negara.
Sepertimana pengarang dan ilustrator buku kanak-kanak, Emila Yusof, telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam pameran Italian Excellence: Pinocchio’s New Clothes tahun ini.
Karya seninya terpilih untuk dipamerkan bersama artis antarabangsa lain yang meraikan karya terkenal Carlo Collodi, The Adventures of Pinocchio.
Dalam satu hantaran di Facebook yang mengumumkan berita tersebut, Emila berkata, karyanya akan dipamerkan pada edisi ke-63 Bologna Children’s Book Fair (BCBF).
Acara tersebut akan berlangsung dari 13 hingga 16 April, bersempena ulang tahun ke-200 kelahiran Collodi.
BACA LAGI: KLABF cipta ekosistem demi komuniti kreatif terus berkembang
BACA LAGI: Musang King cecah RM325 sebiji di China, penanam durian manfaat peluang keemasan

Lukisan si Fox yang berpura-pura tempang manakala si Cat pula berpura-pura buta.
Beliau turut menjadi satu-satunya wakil dari Malaysia dalam kalangan 25 pemenang dari 17 negara.
Karya Emila, yang diinspirasikan oleh Bab 12 The Adventures of Pinocchio: The Story of a Puppet itu, dilukis menggunakan cat akrilik dengan teknik yang sama seperti yang digunakannya dalam karya seni bertemakan landskap.
Lukisan tersebut menggambarkan si Fox yang berpura-pura tempang manakala si Cat pula berpura-pura buta.
“Pada saat melihat lima keping syiling emas di dalam poket Pinocchio, ketamakan si Cat terserlah, saya melukisnya dengan sebelah mata terbuka mengintai wang tersebut.
“Ia merupakan satu adegan yang memperlihatkan kontras antara keindahan landskap Itali dan niat licik watak-watak itu,” kata Emila.
“Kemudian, memandangkan Collodi dilahirkan di Tuscany, saya merasakan penting untuk memberi penghormatan kepada warisannya. Jadi saya menetapkan pertemuan itu dengan latar belakang Tuscany,” tambahnya.
Selepas pameran tersebut, pameran berkenaan akan mengadakan jelajah ke institut kebudayaan Itali di seluruh dunia.
Emila mengaitkan penyertaannya dengan gabungan takdir dan keazaman.
“Saya berada di Frankfurt Book Fair tahun lalu dan terdengar pengarah BCBF, Elena Pasoli, berbual dengan Sheikh Faisal Sheikh Mansor, presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia, mengenai pertandingan ini.
“Saya kemudian memperkenalkan diri,” imbas Emila.
Walaupun Pasoli memberi galakan, Emila perlu mengambil inisiatif sendiri untuk mendaftar pertandingan tersebut.
“Saya terus melayari laman web BCBF, mengkaji tema, peraturan dan syarat, dan menyedari ini adalah cabaran yang saya bersedia hadapi,” ujarnya.
Menyedari skala pertandingan tersebut, Emila mengekalkan jangkaan yang rendah.
“Saya tahu karya saya akan dinilai bersama ilustrator bertaraf dunia. Matlamat saya hanya untuk melihat sama ada hasil kerja saya mampu berdiri sebaris dengan mereka, jadi terpilih adalah satu kejutan terbaik,” ujarnya.
Beliau mengetahui tentang kemenangannya melalui seorang rakan yang ternampak pengumuman itu dalam talian.
“Reaksi saya bercampur antara terkejut dan kegembiraan yang sukar digambarkan. Saya terpaksa merenung skrin seketika sebelum benar-benar menyedarinya.
“Mengetahui tahap bakat yang bertanding, saya berasa amat rendah hati. Menjadi satu-satunya pemenang dari Malaysia adalah detik yang lebih menyentuh perasaan,” luahnya.
Emila juga bukan asing dengan BCBF, setelah menghadirinya sebanyak tujuh kali, dengan kunjungan terbaharu pada tahun 2024.
“Pada masa lalu, saya hadir sebagai pemerhati yang tekun dan pelajar seni ilustrasi, mengikuti perkembangan industri serta mengkaji gaya ilustrasi yang mendapat sambutan di peringkat global.
“Saya juga seorang pengumpul tegar, membeli buku-buku yang saya gemari tanpa mengira bahasa, kerana penceritaan visual yang hebat mampu merentasi sempadan,” maklumnya.
Namun, tahun ini beliau kembali dengan karya sendiri yang dipamerkan.
“Selepas bertahun-tahun menyusuri dewan-dewan itu untuk belajar daripada orang lain, melihat karya saya sendiri dipamerkan adalah satu impian yang menjadi kenyataan.
“Saya paling menantikan untuk melihat karya Pinocchio saya dipamerkan di Bologna,” katanya menutup bicara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
