SATU pesta buku berjaya menghimpunkan komuniti kreatif Malaysia dalam pameran penerbitan seni, budaya cetakan dan ekspresi kontemporari.
Pesta Buku Seni Kuala Lumpur (KLABF) 2025 menampilkan pempamer tempatan dan antarabangsa, disertai dengan program ceramah, bengkel, dan demonstrasi yang berlangsung secara meriah.
Acara yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur mendapat sokongan daripada PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), melalui Program Geran Komuniti Merdeka 118 dengan kerjasama Think City.
BACA LAGI: Bukan setakat skrin gajet, kanak-kanak belajar teroka kemahiran hidup dunia sebenar
BACA LAGI: Musang King cecah RM325 sebiji di China, penanam durian manfaat peluang keemasan

PNBMV dalam satu kenyataan media berkata, kerjasama ini adalah sebahagian daripada komitmennya terhadap Warisan KL, satu inisiatif untuk menghidupkan semula teras bersejarah Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, pameran itu mencerminkan kemeriahan serta tenaga kreatif bandar yang sentiasa berkembang.
“Kami berbangga dapat menyokong platform yang memupuk ekosistem budaya Malaysia serta menyediakan peluang kepada penggiat kreatif untuk berkembang, berinovasi, dan mencapai khalayak yang lebih luas.
“KLABF melambangkan semangat komuniti, kreativiti, dan kerjasama yang menjadi identiti kawasan Merdeka 118, dan kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini untuk mengangkat bakat tempatan serta memperkukuh landskap budaya Kuala Lumpur,” katanya.
Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Majeed berkata, KLABF mencerminkan minat yang semakin berkembang terhadap pengalaman budaya yang mudah diakses dan berteraskan komuniti di bandar ini.
“Kami percaya ekonomi kreatif yang berkembang pesat adalah penting untuk membina persekitaran bandar yang bertenaga dan selesa didiami.
“Kerjasama kami dengan PNBMV melalui Program Geran Komuniti Merdeka 118 menegaskan komitmen bersama untuk memupuk bakat tempatan, menyokong pengamal kreatif bebas, serta memastikan budaya kekal sebagai elemen penting dalam perjalanan penjanaan semula bandar Kuala Lumpur,” ujarnya Hamdan.
Penganjur KLABF, Loo Chee Keong berkata, geran tersebut membolehkan pasukan mereka menyalurkan sumber untuk membangunkan kandungan dan pengalaman yang lebih baik bagi para pengunjung.
“Sebagai contoh, tahun ini kami dapat menganjurkan pameran dan mempromosikannya dengan lebih baik.
“Amat memberangsangkan melihat penambahbaikan terhadap pameran ini dan kami berharap dapat mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.
“Kami berharap dapat terus berkembang secara konsisten dan menarik lebih ramai orang awam ke pameran ini, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap industri seni dan reka bentuk.
“Harapan terbesar saya adalah untuk membina satu ekologi kreatif yang sihat di mana penggiat kreatif terus menghasilkan karya bermakna, manakala pengunjung kekal terinspirasi dan terlibat secara aktif,” kata Loo.
Program geran tersebut, yang kini memasuki kitaran ketiganya, menyokong inisiatif yang memperkasakan bakat tempatan, memperkaya ruang komuniti serta mengembangkan ekonomi kreatif Malaysia.
KLABF merupakan platform tahunan yang meraikan penerbitan seni dan budaya cetakan, menghimpunkan artis, pereka, penerbit, penulis serta pengamal kreatif dari Malaysia dan seluruh rantau ini.
Menurut PNBMV, pameran ini telah memainkan peranan dalam memupuk pertukaran kreatif, kerjasama, dan penemuan dalam landskap kreatif Asia Tenggara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
