Lebih panjang umur jika berkahwin, kajian dedah individu bujang berisiko mati cepat


  • Sihat
  • Jumaat, 12 Dis 2025

Individu yang tidak berkahwin berisiko meninggal dunia lebih awal berbanding mereka yang berumah tangga, sekali gus menjadikan soalan klasik orang tua itu bukan sekadar gurauan, tetapi satu peringatan yang mempunyai asas saintifik. — Gambar hiasan janaan Ai

 

 

DAH hujung tahun, setiap kali berkumpul dengan keluarga, soalan yang sama pasti akan muncul tanpa gagal, 'Bila nak kahwin?'.

Bagi sesetengah orang, ia sekadar gurauan ringan atau pembuka bicara, tapi bagi segelintir individu yang mendengar, pertanyaan itu boleh menimbulkan rasa tertekan, malu, atau sekadar ingin mengelak.

Manakan tidak, soalan itu seolah-olah menjadi penanda aras kejayaan hidup apabila umur semakin meningkat, harapan keluarga supaya menjejak kaki ke gerbang perkahwinan semakin mendesak.

BACA LAGI: ‘Rumah nenek ada Wi-Fi tak?’, tanda kebergantungan digital kanak-kanak makin membimbangkan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Apa salahnya pelawa adik saya duduk', gadis bertongkat patah paha, genap sebulan kehilangan ibu akibat nahas

Tidak hairanlah jika ramai individu muda berasa terbeban dengan tekanan sosial, terutama apabila jiran, saudara mara, malah rakan sekerja tidak putus-putus bertanya tentang status cinta dan tarikh perkahwinan.

Dalam suasana gurauan ringan itu, ada mesej tersirat bahawa hidup bujang mungkin kurang lengkap, dan orang ramai kadang-kadang lupa bahawa pilihan hidup setiap individu berbeza.

Namun, di sebalik jenaka dan desakan halus itu, satu kajian antarabangsa kini membongkar sesuatu yang lebih serius yang mana kehidupan bujang bukan sahaja menimbulkan tekanan sosial, tetapi juga berisiko memberi kesan kepada kesihatan dan jangka hayat seseorang.

individu yang tidak berkahwin berisiko meninggal dunia lebih awal berbanding mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga. — Gambar hiasan janaan Ai

Kajian yang dijalan di Amerika Syarikat (AS) itu mendedahkan bahawa individu yang tidak berkahwin berisiko meninggal dunia lebih awal berbanding mereka yang berumah tangga, sekali gus menjadikan soalan klasik orang tua itu bukan sekadar gurauan, tetapi satu peringatan yang mempunyai asas saintifik.

Menurut penyelidik Universiti California, Robert Kaplan dan Richard Kronick, individu yang tidak berkahwin tetap berisiko meninggal awal walaupun mereka aktif bersenam dan tidak mengalami masalah berat badan.

Kajian melibatkan data bancian dan sijil kematian seramai 67,000 orang dewasa di AS antara 1989 hingga 1997, merangkumi golongan muda hingga warga emas.

Hampir separuh responden berkahwin, kurang 10 peratus adalah balu atau duda, 12 peratus bercerai, tiga peratus berpisah, lima peratus tinggal bersama tanpa berkahwin, dan seorang daripada lima tidak pernah berkahwin.

Hasil kajian menunjukkan bahawa risiko kematian bagi mereka yang bujang adalah sehingga 58 peratus lebih tinggi berbanding individu berkahwin dan tinggal bersama pasangan.

Richard Kronick menjelaskan dalam kalangan golongan muda, punca utama kematian bagi mereka yang tidak pernah berkahwin ialah penyakit berjangkit seperti AIDS serta kemalangan.

Individu yang tidak berkahwin tetap berisiko meninggal awal walaupun mereka aktif bersenam dan tidak mengalami masalah berat badan. — Gambar hiasan janaan Ai

Bagi kelompok pertengahan umur pula, penyakit kardiovaskular dan penyakit kronik menjadi punca kematian yang paling ketara.

Kajian itu turut menunjukkan bahawa lelaki bujang lebih berisiko meninggal dunia lebih awal berbanding wanita bujang.

Malah, lelaki berusia 19 hingga 44 tahun yang tidak berkahwin didapati dua kali ganda lebih berisiko meninggal dunia lebih awal berbanding lelaki sebaya yang telah berkahwin.

Prof Kaplan menjelaskan bahawa perkahwinan adalah 'gambaran kasar' kepada hubungan sosial.

Mereka yang tidak pernah berkahwin berkemungkinan mengalami pengasingan lebih ketara kerana kurang keterikatan dengan anak atau keluarga.

"Pengasingan sosial boleh meningkatkan risiko kematian pramatang," katanya.

Hubungan stabil dan perkahwinan yang sihat bukan sahaja menyokong kehidupan secara emosi, tetapi juga memberi perlindungan kesihatan. — Gambar hiasan janaan Ai

Sementara itu, Ketua Eksekutif Scottish Marriage Care, Mary Toner berkata, hubungan stabil dan perkahwinan yang sihat bukan sahaja menyokong kehidupan secara emosi, tetapi juga memberi perlindungan kesihatan.

"Gaya hidup terasing atau sering menyendiri boleh menjejaskan kesejahteraan, manakala hubungan yang stabil memperkayakan hidup seseorang," ujarnya.

Kajian itu menjadi peringatan bahawa hidup bersosial dan menjalin hubungan yang bermakna bukan sekadar soal emosi, tetapi juga faktor penting dalam memastikan kehidupan lebih sihat dan panjang umur.

Bagi mereka yang masih bujang, ia bukan sekadar desakan keluarga yang harus dipandang ringan, tetapi juga satu peluang untuk menilai semula gaya hidup dan kepentingan membina hubungan yang bermakna dalam kehidupan.

Kesimpulanya, perkahwinan bukan sekadar ikatan emosi, tetapi juga berperanan sebagai 'perisai' kepada kesihatan dan jangka hayat.

Individu yang bujang berisiko meninggal dunia lebih awal, terutamanya lelaki muda, dan pengasingan sosial menjadi faktor utama di sebalik risiko itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram