[VIDEO] 'Apa salahnya pelawa adik saya duduk', gadis bertongkat patah paha, genap sebulan kehilangan ibu akibat nahas


  • Tular
  • Rabu, 10 Dis 2025

Tangkap layar seorang remaja perempuan dibiarkan berdiri lama di sebuah koc wanita baru-baru ini walaupun jelas dia menggunakan tongkat.

 

 

"ADIK saya mengadu letih dan sakit berdiri." Demikian luahan seorang abang apabila adiknya, seorang remaja perempuan yang bertongkat, terpaksa berdiri lama dalam koc wanita tanpa dipelawa duduk oleh mana-mana penumpang.

Kisah yang mula tular sejak Selasa itu mencetuskan tanda tanya mengenai keprihatinan penumpang lain apabila remaja tersebut dilihat bersandar di tepi pintu sambil menahan kesakitan sepanjang perjalanan.

Abangnya, Faeez menerusi akaun TikTok Faeez Cikelon, meluahkan rasa kecewa kerana tiada sesiapa yang menghulurkan bantuan biarpun jelas adiknya memerlukan tempat duduk.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Takut ada tak perasan, kesiannya', RapidKL kecewa remaja perempuan bertongkat dibiarkan berdiri lama dalam koc wanita

BACA LAGI: [VIDEO] Tak boleh 'claim' kasut sukan, pakar kewangan kongsi 5 tip pelepasan cukai ramai terlepas pandang

"Itu memang adik saya. Dia cerita tiada orang pelawa dia duduk sedangkan ramai yang tengok dia.

"Tapi ada pula komen negatif tanya kenapa dia tak minta tempat duduk.

"Sebenarnya kalau ada sifat ehsan dan common sense, kita takkan cakap macam itu. Apa salahnya pelawa?" katanya.

 

 

 

Menurutnya lagi, adiknya mengadu mengalami keletihan dan kesakitan selepas terpaksa berdiri terlalu lama.

Lebih menyedihkan, Faeez mendedahkan adiknya kini berstatus anak yatim selepas ibu mereka maut dalam kemalangan yang sama bersama adiknya itu pada penghujung Oktober lalu.

"Dia tak ada mak… kami dah jadi anak yatim. Dia dah tak ada siapa-siapa," katanya sambil meminta netizen memberikan sokongan positif kepada adiknya.

Dalam perkembangan lain, seorang wanita dipercayai guru kepada remaja tersebut, Nordie2000 turut tampil meninggalkan komen meluahkan rasa pilu apabila anak muridnya diperlakukan sedemikian rupa.

"Anak muridku, anak yatim piatu. Ayah dah meninggal lama. Kemalangan baru-baru ini ragut nyawa ibunya, dan dia pula patah paha.

"Sabar sayang… ALLAH sentiasa ada untuk awak," tulisnya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan remaja perempuan itu menaiki koc wanita namun tidak menerima sebarang bantuan daripada penumpang lain yang membiarkan dia berdiri meskipun bertongkat.

Insiden tersebut mencetuskan perbincangan hangat orang ramai mengenai pentingnya empati serta keprihatinan ketika berada di ruang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram