SEMANGAT tolong-menolong dalam kalangan penunggang motosikal terkenal di kalangan komuniti mereka, terutamanya apabila berlaku kecemasan atau kesulitan di jalan raya.
Sikap itu bukan sahaja mencerminkan nilai murni dalam masyarakat, malah sering menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk saling bantu-membantu tanpa mengharapkan balasan.
Terbaru, seorang penunggang motosikal di Selangor menerima pujian ramai apabila menunda motosikal seorang pengguna dari Kajang ke Sungai Buloh dalam anggararan 50 kilometer (km) tanpa sebarang bayaran.
BACA LAGI : Jangan hanya teruja lihat harga murah, 5 tip elak terbeli kereta terpakai rosak banjir
BACA LAGI : Kereta ditenggelami banjir? Periksa warna minyak hitam bertukar 'teh tarik' antara 7 langkah kritikal
Perkara itu dikongsi sendiri oleh Zul Hairi Hj Ismail di laman Facebooknya selepas dia selamat sampai ke rumah.

Motosikal Zul Hairi mengalamai kerosakan di Kajang.
Dalam catatannya di laman Facebook, Zul Hairi menzahirkan rasa syukur atas kebaikan hati individu terbabit yang tampil membantu tanpa meminta imbuhan.
"Sudah sampai rumah. Ada seorang rider datang menolong menunda motosikal saya dari Kajang ke Sungai Buloh tanpa minta satu sen pun.
"Memang masih ada orang baik dalam dunia ini, berbeza dengan mereka yang suka menertawakan orang dalam kesusahan.
"Semoga ALLAH membalas jasa baik dia di dunia dan di akhirat. Terima kasih juga kepada semua yang WhatsApp dan memberi cadangan yang bermanfaat. Amin," tulisnya.
Zul Hairi turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi cadangan dan bantuan melalui WhatsApp.
Perkongsian Zul Hairi itu mendapat reaksi positif daripada warganet, ramai memuji sikap prihatin rider terbabit dan mendoakan agar kebaikan individu berkenaan dibalas oleh ALLAH di dunia dan akhirat.
Kisah itu sekali lagi menonjolkan nilai semangat kesukarelawanan dan tolong-menolong yang masih wujud dalam masyarakat, khususnya dalam komuniti penunggang motosikal yang sentiasa peka terhadap kesusahan orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
