[VIDEO] Tak boleh 'claim' kasut sukan, pakar kewangan kongsi 5 tip pelepasan cukai ramai terlepas pandang


  • Massa
  • Khamis, 04 Dis 2025

Kasut jogging atau hiking, walaupun digunakan semasa bersenam, dianggap sebagai pakaian atau aksesori peribadi, bukannya 'peralatan sukan' rasmi. — Gambar hiasan Janaan Ai

 

 

TINGGAL beberapa minggu sahaja lagi sebelum tarikh akhir untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun 2025.

Bagi ramai pembayar cukai di Malaysia, ini adalah waktu yang sibuk kerana mereka sedang mengemaskini rekod perbelanjaan sepanjang tahun.

Setiap wang yang dibelanjakan boleh menjadi peluang untuk menuntut pelepasan cukai, sekali gus mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.

BACA LAGI: Jangan hanya teruja lihat harga murah, 5 tip elak terbeli kereta terpakai rosak banjir

BACA LAGI: Ramai 'content creator' tak tahu kena bayar cukai LHDN, ini cara rekod pendapatan dan perbelanjaan

Kesedaran tentang pelepasan cukai amat penting kerana ramai pembayar cukai, walaupun berdisiplin membayar cukai tepat pada masanya, masih tidak memanfaatkan sepenuhnya pelepasan yang layak.

Akibatnya, mereka mungkin membayar lebih daripada jumlah sebenar yang sepatutnya.

Pakar kewangan, Faiz Azmi melalui satu perkongsian video di laman TikTok miliknya, financialfaiz, menekankan baki masa sebelum e-Filing dibuka adalah saat terakhir untuk memastikan semua pelepasan yang layak dituntut.

Dia menasihatkan supaya pembayar cukai menyemak setiap resit dan rekod perbelanjaan, kerana ini adalah langkah bijak untuk memastikan mereka tidak membayar cukai lebih daripada sepatutnya.

1. Pelepasan individu – RM9,000

Salah satu pelepasan yang paling asas adalah pelepasan individu sebanyak RM9,000.

Walaupun diberikan secara automatik, Faiz menekankan bahawa pembayar cukai tetap perlu mengisytiharkan pelepasan ini semasa e-Filing bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau masalah semasa audit.

Pelepasan itu menjadi asas sebelum menuntut pelepasan lain, membantu mengurangkan jumlah cukai yang dikenakan secara keseluruhan.

2. Pelepasan Gaya Hidup – RM2,500

Selain itu, pelepasan gaya hidup yang berjumlah RM2,500 membolehkan tuntutan bagi pelbagai perbelanjaan harian yang berkaitan pendidikan, hiburan, dan teknologi.

Antara perbelanjaan yang layak termasuk pembelian buku untuk pembelajaran atau pengembangan diri, peralatan sukan seperti yoga atau senaman di rumah, bayaran internet bulanan, serta komputer, tablet atau telefon pintar untuk tujuan pembelajaran dan kerja.

Namun, menurut Faiz, walaupun jumlah perbelanjaan sebenar mungkin mencecah RM6,000, tuntutan maksimum yang boleh diperoleh tetap RM2,500.

Pendidik kewangan itu turut mengingatkan kasut jogging atau hiking (mendaki) tidak dikira sebagai peralatan sukan.

"Ramai pembayar cukai sering keliru tentang perkara tersebut dan dalam peraturan LHDN, pelepasan gaya hidup hanya membolehkan tuntutan untuk peralatan yang digunakan secara langsung dalam aktiviti sukan atau senaman yang rasmi atau standard," katanya.

Untuk makluman, melalui perkongsian LHDN, peralatan sukan biasanya merujuk kepada barangan seperti raket, bola, tikar yoga, dan alat sukan lain yang jelas penggunaannya untuk aktiviti fizikal.

Kasut jogging atau hiking, walaupun digunakan semasa bersenam, dianggap sebagai pakaian atau aksesori peribadi, bukannya 'peralatan sukan' rasmi.

LHDN melihat ia sebagai barang yang bersifat peribadi dan serbaguna, bukan semata-mata untuk aktiviti sukan sahaja.

Pada masa sama, Faiz turut menasihatkan orang ramai merancang pembelian barang teknologi seperti telefon pintar atau laptop pada tahun ini boleh membantu pembayar cukai menuntut pelepasan sebelum tarikh akhir berakhir.

Kasut jogging atau hiking, walaupun digunakan semasa bersenam, dianggap sebagai pakaian atau aksesori peribadi, bukannya 'peralatan sukan' rasmi oleh LHDN. — Gambar Hiasan Janaan Ai

3. Rawatan pergigian – Sehingga RM1,000

Pelepasan untuk rawatan pergigian pula membolehkan tuntutan sehingga RM1,000 bagi rawatan diri sendiri, pasangan atau anak-anak.

Ini termasuk rawatan seperti scaling gigi, tampalan, atau rawatan ortodontik asas.

Faiz menasihatkan supaya semua resit rawatan pergigian disimpan dengan rapi sebagai bukti tuntutan jika diperlukan oleh LHDN.

4. Insurans pendidikan dan perubatan – Sehingga RM4,000

Selain itu, pembayaran premium untuk insurans pendidikan dan kad perubatan juga layak dituntut sehingga RM4,000.

Ini termasuk pelan pendidikan untuk anak-anak yang membantu menampung kos pendidikan masa depan, serta kad perubatan untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Faiz menjelaskan bahawa jumlah maksimum tuntutan bagi kategori ini adalah RM4,000, sama ada premium dibayar secara tahunan atau bulanan dan ini memberi peluang kepada pembayar cukai untuk melindungi keluarga sambil mengurangkan cukai yang perlu dibayar.

5. Insurans nyawa dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – Sehingga RM4,000

Bagi insurans nyawa dan caruman KWSP, pekerja makan gaji biasanya menikmati pelepasan ini secara automatik melalui caruman KWSP bulanan mereka.

"Namun, golongan freelancer (bekerja sendiri), peniaga kecil atau influencer (pempengaruh) masih boleh membuat caruman sukarela KWSP untuk menikmati pelepasan sehingga RM4,000.

"Ini adalah situasi 'win-win', kerana pembayar cukai bukan sahaja menambah simpanan untuk hari tua, tetapi juga mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar pada tahun tersebut," ujarnya.

Pempengaruh juga​​​​​ juga terikat dengan kewajipan membayar cukai kepada LHDN. — Gambar hiasan Janaan Ai

Simpan resit dan semak potongan Potongan Cukai Bulanan (PCB)

Faiz turut menasihatkan semua pembayar cukai supaya menyimpan resit pembelian, premium insurans dan rawatan perubatan sama ada secara fizikal atau digital.

Resit-resit tersebut penting sebagai bukti sekiranya pihak LHDN melakukan semakan audit.

Beliau turut mengingatkan pembayar cukai supaya menyemak slip gaji (payslip) masing-masing bagi memastikan terdapat potongan PCB.

"Pernah tak korang semak payslip? Ada tak potongan PCB? Dan korang pernah buat e-Filing? Atau korang memang terlalu baik sampai rela kerajaan ambil lebih daripada sepatutnya?

"Dengan baki beberapa minggu sahaja sebelum tarikh akhir BNCP ditutup, pembayar cukai perlu mengambil langkah segera untuk memastikan semua pelepasan yang layak dituntut.

"Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban cukai, tetapi juga memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan sepanjang tahun dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Kesimpulannya, setiap pembayar cukai disarankan untuk merancang perbelanjaan dengan bijak, menyemak potongan PCB, dan memastikan tuntutan dilakukan dengan tepat.

Langkah-langkah itu bukan sahaja membantu mengelakkan bayaran cukai berlebihan, tetapi juga memberi manfaat jangka panjang kepada kewangan peribadi.

Seperti yang ditegaskan oleh Faiz, setiap wang yang dibelanjakan boleh memberi keuntungan jika dituntut dengan betul, jadi jangan lepaskan peluang ini sebelum tahun kewangan berakhir.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram