PENGORBANAN seorang lelaki yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga tidak boleh diukur dengan wang ringgit mahupun harta benda dunia.
Setiap peluh yang menitik di dahi, setiap luka yang ditanggung, adalah bukti kasih sayang dan dedikasi tanpa syarat untuk memastikan anak-anak dan isteri terus mempunyai tempat berteduh dan kehidupan yang selesa.
Dalam diam, lelaki itu menanggung sakit dan kesusahan sendiri, tetapi hatinya hanya risau tentang kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga.
Kisah memilukan ini dikongsi oleh Dr. Kent Khaw melalui laman Thread miliknya, drkhaw_familymedicine, pada Selasa.
Menurut Dr. Kent, kliniknya didatangi seorang lelaki dengan baju lusuh penuh minyak hitam dan debu.
"Bau peluh dia memang kuat, jelas dia baru selesai bekerja di bawah panas terik. Dia berdiri tegak di pintu, namun kelihatan serba salah untuk masuk.
"Doktor, saya duduk manalah… baju saya kotor, takut kena kerusi doktor," tulis Dr. Kent mengenangkan semula pertanyaan lelaki tersebut yang kelihatan kepenatan.
Setelah ditarikkan kerusi untuknya duduk, Dr. Kent mendapati tapak kaki lelaki itu bengkak dan bernanah selepas terpijak paku karat dua hari lalu.
Namun, lelaki itu diam sahaja, membalut luka dengan kain buruk dan terus bekerja kerana dia dibayar mengikut hari. Jika tidak bekerja, tiada duit untuk menyediakan makan malam keluarga.
Lebih menyentuh hati, lelaki itu lebih risaukan belanja dapur anak-anak daripada menanggung kesakitan sendiri.
Semasa Dr. Kent membersihkan lukanya, lelaki itu bertanya, "Doktor, cuci ni mahal tak? Kalau mahal, bagi saya ubat makan je la. Dalam poket saya ada RM50 je ni untuk belanja dapur malam ni."
Mendengar itu, hati Dr. Kent luluh. Lelaki itu rela menanggung risiko jangkitan Tetanus atau kehilangan kaki kerana luka bernanah, hanya demi memastikan anak dan isterinya dapat makan malam.
Dr. Kent segera memberikan rawatan lengkap, mencuci luka, memberi suntikan Tetanus dan antibiotik lengkap sambil menenangkan lelaki itu supaya berehat.
"Jangan risau pasal bayaran, bang. Kita 'adjust' bagi abang. Yang penting abang rehat esok, jangan lenjan kaki ni," katanya kepada pesakit lelakinya itu.
Selepas rawatan, lelaki itu keluar sambil menahan sebak. Suara halusnya mengucap terima kasih, namun mata merah menahan tangisan.
Bagi Dr. Kent, bau peluh lelaki itu bukan sekadar bau kerja keras, tetapi bau pengorbanan seorang ketua keluarga yang jujur dan berdedikasi mencari rezeki.
Perkongsian Dr. Kent itu mendapat ribuan tanda suka dan komen, ramai yang terharu melihat pengorbanan lelaki ini demi keluarga.
Kisah itu mengingatkan bahawa nilai pengorbanan seorang ketua keluarga jauh lebih tinggi daripada apa jua material dunia dan tidak dapat ditukar dengan wang ringgit atau harta benda.
Ia juga memberi pengajaran bahawa di sebalik senyuman dan ketenangan, ada cerita pengorbanan yang tidak pernah didedahkan pengorbanan seorang lelaki demi memastikan keluarganya terus hidup dan bahagia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
