Bukan sekadar pantau tabiat makan, sokongan psikologi elak budak kena 'diabetes burnout'


  • Sihat
  • Selasa, 11 Nov 2025

Seorang ibu memberikan suntikan insulin kepada anak perempuannya yang menghidap diabetes supaya di depan ahli keluarga lain supaya mereka juga lebih cakna tentang penyakit itu. — Gambar Hiasan

RAMAI yang menyangka diabetes hanya menyerang golongan dewasa, tetapi hakikatnya, kanak-kanak dan remaja turut berjuang dengan penyakit itu setiap hari.

Sempena Hari Diabetes Sedunia pada 14 November ini, perhatian bukan sahaja tertumpu pada gula darah dan pemakanan, tetapi juga pada keberanian, ketabahan dan kesejahteraan emosi mereka yang hidup dengan diabetes sejak kecil.

Menurut Pakar Kanak-Kanak dan Endokrinologi Pediatrik, Dr Jeanne Wong Sze Lyn berkata, ramai yang beranggapan diabetes hanyalah soal insulin, gula dan diet.

BACA LAGI: Ada 5 cara, ibu bapa bimbing anak-anak kawal 'anxiety' dengan lebih sihat

BACA LAGI: Salahkan guru saja takkan selesai isu buli — KGMMB

Namun, penyakit kronik itu membawa cabaran mental dan sosial yang sering tidak dilihat.

Anak-anak yang menghidap diabetes perlu belajar menguruskan suntikan insulin, pemakanan seimbang dan pemeriksaan gula darah, sambil menempuh tekanan psikologi yang boleh menjejaskan keyakinan diri dan kualiti hidup mereka.

Pakar Kanak-Kanak dan Endokrinologi Pediatrik, Dr Jeanne Wong Sze Lyn

Diabetes dalam kalangan kanak-kanak

Dr Jeanne menjelaskan diabetes kanak-kanak terbahagi kepada dua jenis utama iaitu Type 1 dan Type 2.

Katanya, Type 1 berlaku apabila sistem imun secara tidak sengaja memusnahkan sel pankreas yang menghasilkan insulin.

"Tanpa insulin, gula darah boleh terkumpul sehingga mengancam nyawa.

"Gejala muncul secara tiba-tiba, termasuk kerap membuang air kecil, dahaga berlebihan, keletihan, penurunan berat badan atau muntah dan pernafasan laju akibat ketoasidosis diabetes.

"Type 1 tidak disebabkan pengambilan gula berlebihan dan tidak boleh dicegah," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Jeanne berkata diabetes Type 2 kini semakin menyerang remaja, terutamanya mereka yang berlebihan berat badan atau mempunyai sejarah keluarga diabetes.

"Ia berkembang secara perlahan, kadangkala tanpa simptom pada awalnya. Type 2 berlaku apabila badan masih menghasilkan insulin tetapi tidak menggunakannya dengan berkesan," katanya.

Tambah beliau lagi, kedua-dua jenis diabetes tersebut memerlukan penjagaan jangka panjang, termasuk pemeriksaan gula darah, pemantauan pemakanan, aktiviti fizikal seimbang, pengurusan insulin atau ubat lain serta sokongan emosi.

Apabila seorang kanak-kanak menghidap diabetes, ia memberi kesan kepada seluruh keluarga.— Gambar hiasan/Agensi 

Kesan diagnosis diabetes terhadap keluarga

Pada masa sama, Dr Jeanne turut berkongsi kisah seorang gadis berusia tujuh tahun, Amira, yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital kerana ketoasidosis diabetes.

"Dalam masa 24 jam, kehidupan keluarganya berubah sepenuhnya dan mereka belajar cara suntikan insulin, mengira karbohidrat dan memeriksa gula darah.

"Diagnosis diabetes bukan sahaja memberi impak pada anak, tetapi seluruh keluarga.

"Malah, tanggungjawab berterusan boleh menyebabkan ‘diabetes burnout’, iaitu keletihan dan frustrasi emosi yang sering tersembunyi daripada pandangan orang luar," ujarnya.

Kos tersembunyi dan beban emosi

Hand holding a blood glucose meter measuring blood sugar, the background is a stethoscope and chart file

Alat seperti meter glukosa, jalur ujian, sensor pemantauan antara peralatan diperlukan pesakit diabetes. — Gambar Hiasan/Agensi

Penjagaan pesakit diabetes menelan kos tinggi walaupun dengan sokongan awam.

Menurut Dr Jeanne, keluarga perlu menyediakan insulin, meter glukosa, jalur ujian, sensor pemantauan, dan kadangkala pam insulin.

"Lawatan klinik dan cuti kerja menambah tekanan kewangan. Namun, beban emosi jauh lebih besar.

"Ini sekali gus menjadikan ibu bapa sentiasa risau tentang gula darah anak, manakala kanak-kanak mungkin rasa berbeza atau malu di hadapan rakan sebaya.

"Remaja kadangkala melewatkan suntikan insulin atau menyembunyikan bacaan kerana kecewa dan ini bukan kelemahan, tetapi reaksi manusia terhadap penyakit tersebut," katanya.

Sokongan mental sama penting dengan rawatan perubatan

Dr Jeanne menekankan kanak-kanak dan remaja dengan diabetes lebih berisiko mengalami keresahan atau kemurungan.

"Mereka mungkin berasa bersalah jika bacaan gula tidak 'sempurna' atau tertekan dengan rutin penjagaan diri.

"Sokongan psikologi, kaunseling, dan komunikasi terbuka amat membantu. Selain itu, sokongan rakan sebaya melalui kem diabetes atau kumpulan dalam talian dapat memberi kesan positif yang besar," ujarnya.

Pengurusan Bersama: Rumah, sekolah dan komuniti

Di rumah, jangan menyalahkan anak jika bacaan berubah, sebaliknya raikan kejayaan kecil. — Gambar Hiasan/Agensi

Susulan itu, Dr Jeanne menegaskan pengurusan diabetes memerlukan kerjasama semua pihak seperti keluarga, rakan, guru, sekolah dan masyarakat.

"Di rumah, jangan menyalahkan anak jika bacaan berubah. Raikan kejayaan kecil, dan kekalkan rutin normal. Adik-beradik perlu dilibatkan supaya tidak rasa terpinggir.

"Di sekolah, guru perlu mengenali tanda gula rendah dan memahami kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan snek atau rehat sebentar.

"Sokongan rakan sebaya tanpa menghakimi orang lain membantu anak lebih yakin. Adalah amat penting untuk mendidik masyarakat dan sekolah bagi menghapuskan stigma yang sering mengaitkan diabetes dengan tabiat pemakanan buruk," katanya.

Hidup sihat dan berjaya dengan diabetes

Melalui kasih sayang dan perhatian kepada kesejahteraan psikologi, setiap kanak-kanak dengan diabetes bukan sahaja boleh bertahan, malah berjaya dalam hidup. — Gambar Hiasan/ Agensi 

Menurut Dr Jeanne lagi, walaupun berhadapan dengan cabaran besar, ramai kanak-kanak dengan diabetes menjalani kehidupan aktif dan berjaya.

"Mereka boleh menjadi atlet, doktor, artis atau usahawan.

"Kuncinya ialah sokongan, ilmu dan minda positif. Penjagaan diabetes bukan sekadar angka di skrin tetapi tentang membantu anak hidup yakin, menikmati persahabatan dan mengejar impian tanpa rasa takut.

"Dengan kasih sayang, sokongan masyarakat, dan perhatian kepada kesejahteraan psikologi, setiap kanak-kanak dengan diabetes bukan sahaja boleh bertahan, malah berjaya berkembang dengan cemerlang," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram