HUJUNG minggu sepatutnya menjadi detik untuk keluarga berehat, menikmati ketenangan rumah, dan menenangkan minda selepas seminggu penat bekerja.
Namun, bagi penduduk Setiawangsa, Kuala Lumpur, masa yang sepatutnya indah itu kini berubah menjadi 'neraka bunyi' apabila konsert dan festival makanan kerap dianjurkan di kawasan rumah mereka.
Isu tersebut tular selepas perkongsian pengguna Threads, @nadia.aljunid, pada Ahad, yang meluahkan rasa kecewa terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana didakwa meluluskan acara hiburan di kawasan berpenduduk tanpa mengambil kira keselesaan dan kesejahteraan komuniti setempat.
BACA LAGI: Banyak perniagaan tutup di Bangi, ada yang cadang MAIS buat wakaf tunai
BACA LAGI: Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup
"Kami ada bayi, tapi PBT masih approve (luluskan) semua jenis konsert dan food festival (festival makanan) di Setiawangsa ini.
"Hampir setiap dua minggu ada event. Bunyi kuat sampai susah nak tidur. Tak fikir ke orang yang kerja, ibu berpantang, atau baby nak rehat?" tulisnya.
Menurut Nadia, penganjuran pelbagai acara di lokasi tersebut bukan sahaja menimbulkan gangguan bunyi, malah menjejaskan ketenangan mental penduduk.
Pentas utama yang dibina berdekatan kawasan kediaman menambahkan lagi tekanan kepada mereka yang yang memerlukan rehat penat bekerja.
"Setiap kali jadi macam ini, stres makin bertambah. Silap hari bulan, boleh rasa macam nak buat appointment dengan pakar psikiatri," tambahnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna Threads yang lain bersetuju dengan keluhan tersebut dan menganggap pihak penganjur serta kelulusan PBT tidak mengambil kira sensitiviti penduduk tempatan.
Pengguna Threads, @katokiari berkata, bunyi muzik dan jeritan penyanyi masih kedengaran walaupun semua pintu dan tingkap ditutup rapat.
"Memekak betul. Dah tutup semua pintu, tingkap pun masih dengar suara jeritan pakai mikrofon itu," katanya.
Sementara itu, @khaidir_1802kl, yang mendakwa berpengalaman dalam urusan permit, turut mempersoalkan proses kelulusan acara sebegini.
"Pelik juga macam mana boleh lulus. Biasanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya bagi kelulusan kalau pihak polis kawasan itu memberi sokongan serta kelulusan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @nazir.pauzi, mencadangkan agar penduduk tampil membuat bantahan rasmi bagi menunjukkan usaha mereka kepada pihak berkuasa.
Keadaan tersebut juga menimbulkan persoalan berkenaan kelayakan kelulusan acara di kawasan berpenduduk dan kepentingan menyeimbangkan hiburan awam dengan hak penduduk untuk menikmati ketenangan di rumah.
Ramai berharap DBKL akan meneliti semula polisi kelulusan bagi memastikan acara hiburan yang dianjurkan tidak mengganggu kesejahteraan masyarakat setempat.
"Penduduk boleh buat nota bantahan. Sekurang-kurangnya nampak usaha kita tunjuk pada pemaju dan PBT seperti DBKL kan?" ujarnya.
Sehingga kini, DBKL masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai aduan penduduk terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
