Ada 5 cara, ibu bapa bimbing anak-anak kawal 'anxiety' dengan lebih sihat


  • Sihat
  • Ahad, 04 Mei 2025

Cara ibu bapa bertutur atau bertindak boleh mencetuskan rasa anxiety dan takut dalam kanak-kanak. — Gambar Hiasan/Agensi

KERESAHAN atau anxiety sering kali dikaitkan dengan orang dewasa, namun hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada mengalami tekanan emosi.

Mereka mungkin tidak mampu meluahkan dengan kata-kata, tetapi keresahan boleh terserlah melalui perubahan tingkah laku mudah marah, menangis tanpa sebab, sukar tidur atau enggan melakukan aktiviti harian.

Sehubungan itu, dua pakar psikoterapi keluarga dan kanak-kanak, Ashley Graber dan Maria Evans berkongsi pendekatan berkesan bagi membantu ibu bapa membimbing anak-anak menangani keresahan dengan lebih sihat. 

BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah

BACA LAGI : Jaga ibu bapa uzur, hidup lebih lama antara faktor wanita kurang 'saving' berbanding lelaki — Penasihat kewangan

Menurut Ashley dan Maria, kanak-kanak amat memerlukan ibu bapa untuk belajar mengawal emosi mereka, terutama dalam situasi mencabar. 

Namun tanpa disedari, cara ibu bapa bertutur atau bertindak boleh mencetuskan rasa pesimis dan takut dalam situasi tersebut. 

Untuk mengelakkan hal ini, mereka mencadangkan penggunaan kerangka lima langkah dikenali sebagai SAFER, yang boleh membina keselamatan emosi, meningkatkan harga diri anak dan membentuk tingkah laku yang lebih positif.

1. Tetapkan nada tenang

Ibu bapa seharusnya berkomunikasi dengan anak mereka dengan nada yang tenang. — Gambar hiasan/ Agensi 

Langkah pertama dan terpenting ialah mengawal emosi sendiri. Apabila ibu bapa mampu kekal tenang, anak-anak lebih mudah meniru dan belajar mengawal emosi sendiri.

Pada masa sama, elakkan cara penyampaian yang menakutkan atau dikenali sebagai scary framing seperti membuat situasi yang negatif. 

Misalnya, "keluar malam bahaya, silap langkah boleh jadi mangsa langgar lari".

Bandingkan dengan safe framing atau penggunaan ayat yang lebih selamat seperti "lebih selamat pulang sebelum gelap dan kalau perlu keluar, pastikan telefon ada dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling".

2. Benarkan emosi pandu tingkah laku

Apabila anak menunjukkan tingkah laku melawan atau agresif, ia petanda bahawa mereka sedang bergelut dengan emosi. 

Daripada memarahi, bantu mereka membuat pelan menangani perasaan atau Plan To Cope (PTC).

Contohnya, ibu bapa boleh berkata, "marah itu biasa, tapi abaikan mama tidak okay. Mari kita bincang apa kamu boleh buat lain kali." 

Beri pilihan dan mungkin berehat sebentar di sudut tenang atau melakukan aktiviti ringkas seperti menyusun kad permainan.

Apabila anak menunjukkan tingkah laku melawan atau agresif, ia petanda bahawa mereka sedang bergelut dengan emosi. — Gambar hiasan/ Agensi 

3. Bina jati diri anak

Kanak-kanak memerlukan rasa diri yang kukuh untuk perkembangan emosi yang sihat. Ini termasuk pujian jujur dan pengiktirafan terhadap kekuatan mereka seperti kreativiti atau empati.

Sebagai ibu bapa, anda seharusnya mempunyai sikap menyayangi tanpa syarat kerana ia penting untuk keyakinan diri anak.

4. Berkomunikasi dengan bijak

Ibu bapa boleh menjadi 'tempat selamat' untuk anak berkongsi rasa. 

Tanyakan, “adakah kamu mahu pendapat mama atau sekadar mahu mama dengar dan sokong kamu?”

Apabila anak tidak tahu apa yang mereka perlukan, bantu mereka mengenal pasti. Kadang kala, rehat seketika membantu menenangkan emosi sebelum berbual semula dengan lebih terbuka.

Ibu bapa seharusnya menunjukkan cara mengurus tekanan dengan bijak.  — Gambar hiasan/ Agensi 

5. Tunjuk contoh terbaik

Anak belajar melalui pemerhatian. Jika ibu bapa sering merungut tentang kegagalan diri atau terlalu keras terhadap diri sendiri, anak juga akan menyerap pemikiran tersebut.

Ibu bapa seharusnya menunjukkan cara mengurus tekanan kerana anak bukan sahaja melihat, tetapi belajar bahawa ada cara sihat untuk menangani tekanan.

Pendekatan SAFER ini bukan sahaja membantu ibu bapa memahami emosi anak, malah mencipta suasana rumah yang lebih damai dan menyokong pertumbuhan emosi yang sihat. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram