
BUDAYA sesebuah sekolah yang longgar, tidak konsisten serta gagal menanam nilai-nilai murni secara menyeluruh dikenal pasti sebagai antara faktor utama mendorong berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, pandangan itu selari dengan kenyataan pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad yang sebelum ini mengaitkan budaya dan ekosistem sekolah sebagai penyumbang utama kepada insiden buli.
“Ya, memang benar budaya sekolah memainkan peranan sangat penting dalam membentuk tingkah laku pelajar.
BACA LAGI: Salin nota bukan susahkan murid, sebaliknya bantu kuatkan memori dan belajar membaca, tegas guru
"Jika nilai hormat, kasih sayang dan tanggungjawab ditekankan, kes buli boleh dikurangkan secara semula jadi.
“Namun, jika budaya itu longgar dan tidak konsisten, pelajar mudah terikut-ikut dengan tingkah laku negatif yang akhirnya membentuk satu ‘budaya’ baharu dalam persekitaran sekolah,” katanya kepada Majoriti.
Walaupun begitu, jelasnya, tanggungjawab membentuk budaya yang sihat di sekolah bukan hanya bergantung kepada guru, malah turut melibatkan ibu bapa dan komuniti.
“Sekolah tidak boleh bergerak sendiri. Kita perlukan sokongan ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan nilai-nilai murni itu dapat ditanam dan disemai secara konsisten di rumah dan di sekolah,” ujarnya.
Juhari Mohamad Nor
Mengulas mengenai langkah dalaman yang diambil oleh pihak sekolah, Juhari berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan garis panduan dan prosedur yang jelas dalam menangani kes buli.
“Pemantauan berkala di kawasan berisiko, sesi kaunseling intervensi, kempen anti-buli serta pengukuhan Unit Disiplin dan Bimbingan Kaunseling merupakan antara inisiatif yang sedang dijalankan. Pelajar juga digalakkan melaporkan sebarang insiden secara rahsia dan selamat,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengakui bahawa guru-guru perlu diberi latihan berterusan untuk berdepan dengan cabaran baharu dalam menangani kes buli.
“Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dan bengkel oleh Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri memang ada, namun dalam dunia yang semakin kompleks, guru memerlukan sokongan tambahan.
"Ini termasuk pemahaman tentang psikologi pelajar, pendekatan restoratif serta aspek perundangan,” jelasnya.
Dalam hal ini, beliau turut menegaskan keperluan menambah jumlah guru kaunseling di sekolah yang dilihat kritikal bagi menangani isu ini secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Pendekatan menyalahkan satu pihak semata-mata dalam kes buli adalah tidak adil dan tidak akan menyelesaikan masalah. — Gambar Hiasan/ Janaan Ai
Mengulas mengenai sikap segelintir masyarakat yang mudah menyalahkan guru apabila berlakunya kes buli, Juhari menegaskan bahawa pendekatan menyalahkan satu pihak semata-mata adalah tidak adil dan tidak akan menyelesaikan masalah.
“Saya faham kekecewaan masyarakat, namun menyalahkan guru secara keseluruhan bukanlah jalan penyelesaian. Guru juga manusia yang mempunyai had pemantauan, apatah lagi dengan jumlah murid yang ramai dan kekangan masa.
"Apa yang kita perlukan ialah pendekatan bersama di mana ibu bapa, komuniti, dan pihak sekolah saling berganding bahu. Kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada satu pihak.
"Lebih penting ialah bagaimana kita bergerak secara kolektif untuk membendung gejala ini secara berkesan,” katanya.
Sebelum ini, Anuar Ahmad menyifatkan buli sebagai produk yang lahir daripada budaya sekolah itu sendiri, termasuk gaya kepimpinan dan tahap hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa.
“Buli ini bukan sekadar salah laku pelajar, ia kesan daripada ekosistem yang terbentuk dalam sesebuah sekolah saya cakap bukan atas dasar akademik semata-mata, tetapi berdasarkan pengalaman tujuh tahun tinggal di asrama,” kata beliau dalam satu hantaran di laman Facebook peribadi miliknya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram