Selepas setahun, lubang benam kembali ‘muncul’ di Masjid India


  • Massa
  • Isnin, 10 Nov 2025

Satu mendapan permukaan jalan dikesan di Jalan Bonus, Masjid India berhadapan premis Bombay Jewellery.

HANYA selepas dua minggu punca sebenar kejadian lubang benam di Masjid India, Kuala Lumpur didedahkan, satu lagi kejadian tanah mendap berlaku di Jalan Bonus sekali gus menimbulkan kegusaran awam mengenai kestabilan infrastruktur bawah tanah lama di kawsan tersebut.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan lubang benam itu dikesan di hadapan kedai Bombay Jewellery pada Isnin  kira-kira pukul 8.39 pagi. 

Pasukan DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan polis daerah Dang Wangi dikerahkan bagi menjalankan siasatan.

BACA LAGI : [VIDEO] Ambil iktibar staf wanita dirompak ketika bekerja seorang diri, usahawan tudung Terengganu tingkatkan keselamatan butik

BACA LAGI : [VIDEO] 'Dah tutup pintu tingkap pun dengar lagi', warga Setiawangsa kesal PBT lulus anjur konsert, festival makanan tanpa fikir keselesaan penduduk

Menurut kenyataan itu lagi, Jalan Masjid India ditutup sementara dari Lorong Masjid India 4 sehingga kawasan terjejas bagi keselamatan awam. 

DBKL menegaskan pemantauan dan penilaian teknikal sedang dijalankan, dan maklumat terkini akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, siasatan pasukan khas mendapati runtuhan di Masjid India tahun lalu berpunca daripada kerosakan paip pembetungan berkarat dan ketidakstabilan tanah, bukannya batu kapur seperti didakwa sebelum ini. 

Tapak kejadian terletak di Formasi Kenny Hills yang berlapis batuan syis, manakala batu kapur berada jauh di kedalaman 60 hingga 70 meter.

DBKL kini menjalankan kajian geoteknik di laluan utama Segitiga Emas menggunakan borehole resistivity, Ground Penetrating Radar (GPR), LiDAR dan InSAR. 

Hasil awal menunjukkan tiada kawasan berisiko tinggi setakat ini.

Lubang benam tahun lalu mengorbankan pelancong India, G. Vijayalakshmi, 48, selepas dia terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter pada 23 Ogos. 

DBKL dijangka mengeluarkan laporan awam penuh menjelang akhir tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram