
KEHADIRAN seorang guru dalam sesebuah kelas amat memberi kesan terhadap anak murid, terutamanya sekiranya cikgu itu ikhlas mencurahkan ilmu dan memberi didikan sewajarnya.
Jadi, ia akan memberi kesan besar terhadap pelajar jika guru terbabit terpaksa mengucapkan selamat tinggal kerana dipindahkan atau atas pelbagai sebab lain.
Itulah apa dihadapi murid-murid dalam sebuah kelas yang sukar menerima hakikat bahawa guru kesayangan mereka tidak akan lagi bertugas di sekolah terbabit.
BACA LAGI: Tingkatan 6 di bawah KPT mampu kikis persepsi 'STPM sebagai pilihan kedua' — Persatuan guru
Dalam sebuah video dimuat naik di akaun TikTok Palieyjer, kelihatan seorang cikgu yang mungkin mengajar subjek Pendidikan Islam kerana dikenali sebagai Ustaz oleh anak-anak didiknya.
Rakaman itu memaparkan murid kelas 5 Amanah di SK Seri Permai, Pulau Pinang menyediakan kejutan buat guru terbabit apabila mereka menutup pintu sambil seorang daripadanya meminta cikgu berkenaan membuka pintu segera.
Sambutan khas sememangnya diterima warga pendidik itu apabila murid kelas tersebut berdiri dalam sebuah barisan dengan reben melintang dipasang untuk digunting cikgu berkenaan.
Setelah itu, guru berkenaan diraikan dengan pelbagai jenis hadiah dan kemeriahan murid kelas berkenaan yang menceritakan kasih sayang masing-masing terhadapnya.
Lebih menyentuh hati lagi, ada daripada mereka yang gagal menahan sebak sehingga mengalir air mata kerana tidak dapat menahan emosi atas pemergian guru terbabit.
Meskipun tidak diceritakan lebih lanjut mengenai kisah tersebut, terdapat kemungkinan besar pemilik akaun TikTok itu akan meninggalkan sekolah berkenaan selepas tempoh pengajiannya sebagai guru praktikal berakhir.
Video ringkas tersebut kemudian dikongsikan di pelbagai platform media sosial lain dengan pengguna berasa tersentuh hati akan usaha murid-murid selain sempat memuji kesan ditinggalkan guru berkenaan.
"Saya suka vibe pelajar seperti ini, ada rasa harmoni dan hormat," kata Fadhli Rahman.
"Murid sekolah rendah suka sangat jika guru layan mereka seperti anak sendiri dan kawan. Anak perempan saya di prasekolah ada yang sehingga guru diangkat sebagai Cikgu Papa," kata IbnuLuth IbnuLuth.
"Terima kasih cikgu. Semoga dipermudahkan segala urusan setelah di tempatkan mengajar nanti. Terima kasih cikgu," kata Faiza Comot.
Perkongsian itu menunjukkan bagaimana hubungan antara cikgu dan murid sememangnya berharga meskipun pada akhirnya, masing-masing tahu bahawa perpisahan sedemikian terjadi jua akhirnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram