
'DUNIA ini kejam, saya rasa nak mati'.
Itu ungkapan seorang murid perempuan sehingga menyebabkan gurunya tersentak dengan luahan yang tidak disangka.
Mana tidaknya, perkataan sebegitu lahir daripada mulut seorang anak kecil yang masih di bangku sekolah rendah.
Momen tersebut dirakam oleh guru berkenaan, Amin Hussin, dan dimuat naik menerusi akaun Threads miliknya pada Rabu.
Dalam video itu, murid terbabit pada awalnya meluahkan perasaan kecewa dan menyifatkan dunia ini sebagai kejam.
Terkejut dengan kata-kata tersebut, guru itu memanggil pelajarnya untuk bertanya lebih lanjut sebab di sebalik perasaan itu.
Kanak-kanak tersebut kemudian memberitahu bahawa ia berpunca daripada masalah keluarga melibatkan abang dan kakaknya.
Lebih mengejutkan apabila murid itu turut menyebut beliau ingin 'mati'.
Guru berkenaan yang mengakui terkejut kemudiannya menenangkan dan menasihati anak muridnya itu.
Dalam ruangan kapsyen hantaran yang dikongsikan, beliau menyeru agar ibu bapa perlu sentiasa peka dengan keadaan anak-anak bagi mengelak perkara tidak diingini.
"Terkejut bila dengar keluhan anak kecil, berulang kali sebut dunia kejam dan tak sanggup hidup lagi. Ayah ibu dan guru perlu bantu pantau keadaan anak-anak kita.
"Saya pun nasihat untuk diri saya juga. Mereka diam mungkin malu nak bagitahu, tapi ini amat merisaukan. Ya ALLAH, lindungilah anak-anak ini," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa simpati dan kebimbangan terhadap luahan kanak-kanak berkenaan.
"Alahai, kesiannya. Beliau masih kecil untuk menanggung tekanan emosi," kata @lizamastika.
"Sedihnya. Mungkin dia rasa diri tak dihargai dan kurang kasih saying," ujar @nuramirahj.
"Ya ALLAH, budak sekecil ni dah pandai cakap macam tu. Sangat membimbangkan ni cikgu. Terus pantau cikgu, luluh hati dengar si comel ni ngadu macam ni," tulis @ohhreenaaaaa.
Selain menzahirkan rasa sebak, ramai juga yang memuji tindakan guru tersebut kerana peka terhadap perubahan emosi muridnya dan mengambil pendekatan mendengar tanpa menghakimi.
"Tahniah dan terima kasih cikgu menasihati anak-anak murid," tulis @farahmohdidris.
"Bagus cikgu. Dengar masalah anak-anak kecil ni. Kadang-kadang mereka tak ada tempat nak mengadu.
"Mungkin di rumah ibu bapa terlepas pandang, jadi mereka lebih selesa bercerita pada guru yang mendengar," komen @shooting_star282. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram