
"MAKAN malam menjadi sepi, hanya bunyi sudu dan skrin yang bercahaya. Kita duduk di hadapan anak, tetapi jaraknya seperti beribu batu."
Itu antara luahan menyentuh hati daripada seorang guru, Emmet di Facebook yang mengajak ibu bapa merenung kembali erti sebenar hubungan keluarga dalam era moden.
Dalam tulisannya itu, Emmet mengimbau kehidupan anak-anak zaman dahulu yang hidup sederhana tetapi sarat dengan nilai kasih sayang, adab dan interaksi sebenar iaitu sesuatu yang kini semakin pudar ditelan kemajuan teknologi.
“Dulu masa sekolah rendah, kita bangun tidur terus ke bilik air, gosok gigi dan mandi. Solat Subuh, susun buku, sarapan dengan mak ayah.
"Ayah tanya kerja rumah dah siap ke belum. Selepas itu pergi sekolah, jumpa kawan-kawan, main guli, laga spider. Semua benda dibuat bersama,” tulisnya.
BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas
Kehidupan berkeluarga masa kini semakin dipenuhi dengan pengaruh teknologi. — Gambar hiasan
Beliau berkata, ketika itu, anak-anak tidak perlu ke kelas tuisyen untuk berjaya dan ibu bapa tidak perlu menekan supaya cemerlang kerana nilai kehidupan dan kasih sayang menjadi teras pendidikan.
"Mak ayah ajar berkawan dengan semua orang, semua kaum. Balik mengaji, baca buku sambil ditemani ayah. Sebelum tidur, bersalaman dengan mak ayah.
"Itulah kitaran hidup dulu yang penuh connection antara anak, ibu bapa dan kawan-kawan," katanya.
Namun, Emmet berkata, realiti hari ini jauh berbeza. Dunia digital kini menjadi teman rapat anak-anak, sementara ibu bapa perlahan-lahan kehilangan ruang untuk mengenal hati anak sendiri.
“Cuba kita renungkan anak-anak sekarang. Bangun tidur, apa benda pertama yang mereka capai? Gajet. Kalau kita biarkan, nanti mereka bersahabat dengan algoritma dan bukan dengan hati kita,” ujarnya.
Lebih memilukan, rumah kini bukan lagi tempat bercerita dan berkongsi perasaan, sebaliknya sekadar menjadi tempat anak-anak pulang untuk mengecas bateri telefon.
“Rumah yang dulu dipenuhi suara kini jadi senyap. Kita masih duduk serumah, tetapi seperti di dua dunia berbeza,” tulis Emmet.
Emmet menyeru agar ibu bapa kembali mencipta ruang untuk berhubung dengan anak-anak walau sesibuk mana sekali pun.
“Kita tak boleh berpatah balik ke zaman dulu, tapi kita boleh bawa semangatnya. Duduklah di sebelah anak walau sekejap, tanya bagaimana harinya.
"Kadang mereka tak perlukan nasihat panjang, cukup hati yang sudi mendengar,” katanya.
Beliau turut menambah, ibu bapa harus kembali memainkan peranan untuk memanusiakan anak-anak dengan kasih sayang sebenar.
“Jadi ibu bapa, marilah kita berperanan untuk memanusiakan anak-anak kita dengan sentuhan dan kata-kata kasih sayang serta nasihat. Cari peluang dan ruang untuk anak-anak bercerita tentang masalah dan emosi mereka,” tulisnya lagi.
Teknologi bukan lagi sekadar alat tetapi ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan berkeluarga. — Gambar hiasan
Hantaran tersebut menerima ribuan reaksi di media sosial, dengan ramai dalam kalangan warga maya bersetuju dengan pandangan guru itu.
Seorang pengguna, Anathasia Allin sedih dengan perubahan gaya hidup masa kini.
“Sekarang masing-masing sibuk dengan telefon. Sedih tapi itulah kenyataan. Kadang-kadang kita semua ada di meja makan yang sama, tapi jiwa kita tak bersama," katanya.
Pengguna lain, Sebri Juni pula melihat luahan itu sebagai nasihat terbaik buat ibu bapa masa kini.
“Apa yang cikgu cerita tu saya lalui dulu. Alhamdulillah, saya cuba buat perkara sama pada anak-anak saya sekarang. Anak main telefon tak salah, tapi biar ada kawalan dan disiplin. Bahagia itu bukan dicari di luar, tapi dicipta dalam keluarga kita sendiri," katanya.
Sementara itu, Kak Ros turut menulis pandangan yang selari dengan mesej Emmet, yang menegaskan pentingnya peranan pendidik dan ibu bapa dalam membentuk jiwa anak-anak.
“Gurulah orang tua kita di sekolah, ibu bapa pula insan yang menjaga di rumah. Sayangi, hormati dan muliakanlah mereka kerana di situ datangnya keberkatan ilmu," katanya.
Bagi Ainol Mardziah Wahab, luahan guru itu wajar dijadikan peringatan kepada ibu bapa moden yang semakin sibuk dengan urusan dunia.
“Saya sangat setuju dengan pandangan cikgu. Kita mungkin tak boleh kembalikan 100 peratus cara dulu, tetapi sekurang-kurangnya nilai yang mak ayah kita tanam dulu boleh kita teruskan pada anak-anak sekarang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram