'Barang terpakai, kalau kena gaya, tetap nampak cantik', elemen seni, 'rustic' hiasi kediaman Cikgu Amir


  • Hias
  • Selasa, 24 Jun 2025

Unsur seni begitu terasa di setiap sudut rumah milik Amir, tidak kira dari bilik bacaan hingga ke ruang tamu, lukisan memenuhi dinding.

DI sebalik sebuah rumah sederhana di Kampung Tersusun Bukit Jana, Kamunting, Perak, tersimpan kisah sarat kasih sayang dan berseni milik seorang guru dan pelukis, Amir Hazlin Lin.

Bagi Amir, 58, rumah bukan sekadar tempat berlindung, tetapi ruang mengikat hubungan keluarga, meraikan seni dan mencipta memori indah bersama insan tersayang.

"Rumah ini tempat untuk kita berkumpul, bukan sekadar tempat tidur," katanya ringkas membuka bicara bersama Majoriti.

BACA LAGI: Tanggungjawab sosial buat remaja, kanak-kanak autisme, Suga BTS salur dana RM15 juta, tubuh Pusat Rawatan Min Yoon-gi

BACA LAGI: Kilang simen era Perang Dunia Pertama transformasi jadi mahligai mewah di Barcelona, setiap sudut ada ceritera

Bagi Amir, rumah bukan sekadar tempat berlindung.

"Rumah saya ini biasa sahaja, tapi saya buat supaya sesuai untuk keluarga," jelas beliau mengenai kediaman yang didiami bersama isteri, Zarina Mat Rais, 57, dan dua anaknya.

Namun setiap minggu, rumah tersebut turut menjadi tempat berkumpul anak-anak buah dan sanak saudara.

Justeru, segala renovasi dilakukan berpaksi pada satu tujuan utama iaitu keselesaan seisi keluarga.

"Yang penting rumah ini buat semua orang rasa selesa, tak kira tua muda," katanya.

Unsur seni begitu terasa di setiap sudut rumah milik pendidik ini.

Konsep rumah berteraskan gaya rustic itu disulam dengan elemen seni dan koleksi barangan diminati.

Ada ruang khas untuk koleksi peribadi, lukisan hasil tangan Amir sendiri dan karya sahabat-sahabat pelukis.

Namun, semuanya disusun dengan penuh teliti agar rumah itu tidak menjadi seperti muzium, kerana isteri lebih mengutamakan suasana lapang dan tidak sarat hiasan.

"Saya suka seni, tapi rumah ini tetap rumah untuk keluarga, bukan galeri.

"Saya kompromi dengan isteri. Dia tak suka nampak macam muzium. Jadi saya pilih satu ruang untuk letak koleksi, ruang lain lebih sederhana," katanya sambil tersenyum.

Konsep rumah Amir berteraskan gaya 'rustic' disulam dengan elemen seni dan koleksi barangan peribadi.

Dapur pula menjadi nadi rumah apabila ruang terbuka menghadap taman kecil dengan meja makan kayu terpakai hasil tempahan khas.

Di sinilah ahli keluarga berkumpul, makan bersama dan berbual mesra.

"Kalau keluarga datang, paling seronok duduk makan sama-sama, berbual panjang."

Rumah Amir disusun dengan penuh teliti agar tidak tampak seperti muzium.

Unsur seni begitu terasa di setiap sudut rumah milik Amir, tidak kira dari bilik bacaan hingga ke ruang tamu, lukisan memenuhi dinding.

Lebih 10 buah kesemuanya, bahkan dapur pun dihiasi lukisan.

Lantai kayu terpakai dan lantai simen polos menambah keaslian suasana rustic, selaras dengan inspirasi daripada buku Living of Art yang menjadi rujukan Amir.

"Barang terpakai, kalau kena gaya, tetap nampak cantik dan ada nilai.

"Saya suka konsep guna barang terpakai tapi kita letak cantik, ada nilai seni," jelasnya yang menggunakan nama pena Rimanilzah untuk hasil lukisannya.

Dapur nadi utama rumah apabila ruang terbuka menghadap taman kecil dengan meja makan kayu terpakai hasil tempahan khas.

Renovasi rumahnya menelan kos sekitar RM100,000, melibatkan pembesaran dapur, ruang tamu dan penyambungan bilik bacaan supaya lebih mudah diakses.

"Tak semestinya rumah cantik kena mahal. Asalkan kena dengan jiwa kita," jelasnya.

Rumah itu juga memberi ruang untuk Amir menulis dan melukis tanpa mengganggu suasana keluarga.

Malah, rumah itu menjadikan sesi pengajian yang diikutinya lebih selesa dengan angin sepoi-sepoi dan ruang terbuka, sempurna untuk beristirahat selepas belajar.

"Ruang menulis dan melukis itu tempat saya cari ketenangan," tambahnya.

Lukisan memenuhi dinding di setiap sudut rumah Amir.

Nasihat Amir untuk mereka yang ingin mengubah suai rumah tanpa mengorbankan identiti: "Rumah kita biarlah ikut keselesaan kita dan keluarga. Kena saling bertolak ansur dengan pasangan, supaya rumah itu jadi tempat semua orang rasa seronok dan selesa.

"Kalau minat seni, cari ruang yang sesuai, jangan sampai rumah jadi macam galeri seni sampai tak praktikal.

"Rumah ini untuk kita hidup, bukan untuk dipamer," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram