'Banyak kali buat permintaan pelik', impian wanita bergelar model jadi mimpi 'ngeri'


  • Maya
  • Khamis, 16 Okt 2025

Wanita dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan tawaran kerja yang mencurigakan di media sosial. — Gambar hiasan

ORANG ramai khususnya golongan wanita dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan tawaran kerja sebagai model menerusi media sosial.

Peringatan itu tular selepas beberapa wanita mendedahkan tindakan tidak bermoral pengguna akaun dipercayai menyamar sebagai agensi peragaan bagi memperdayakan mangsa.

Berdasarkan perkongsian di Threads baru-baru ini, akaun bernama @epublika.studio didakwa menggunakan taktik tersebut untuk memerangkap mangsanya.

BACA LAGI: Cikgu buat 'spot check' terkejut, telefon murid Tahun 6 penuh gambar guru, ustaz KAFA jadi bahan 'troll'

BACA LAGI: ‘Bersahabatlah hingga syurga’, ibu letak syarat, wajib solat 5 waktu jika nak berkawan dengan anak

"Amaran, kalau nampak hantaran ini tolong jangan percaya kerana ia satu penipuan.

"Dah banyak kali akaun ini didedahkan sebab buat permintaan pelik daripada model," tulis @afifahdyanaa.

Seorang lagi pengguna, @dayaliey turut berkongsi pengalaman serupa apabila hampir menjadi mangsa gangguan seksual individu berkenaan yang menggunakan gambar seorang wanita bersama anak kecil sebagai gambar profil bagi mengaburi mangsa.

Pengguna terbabit pada masa sama turut mendedahkan tangkapan skrin mesej antara individu yang menggunakan nama Azz di aplikasi Telegram.

Dalam perbualan tersebut, individu berkenaan meminta mangsa untuk mengambil swafoto sambil membuka baju bagi menunjukkan pakaian dalam dengan alasan memudahkan semakan pakaian sebelum jadual penggambaran disusun.

Mesej yang dihantar sekitar pukul 12.28 pagi hingga 12.40 pagi itu turut menimbulkan persoalan dan curiga pada mangsa.

Insiden itu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial terutama golongan wanita yang sedang mencari kerja.

Justeru, orang ramai yang ingin memohon kerja melalui platform dalam talian disarankan agar membuat semakan latar belakang akaun terlebih dahulu serta melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang cubaan mencurigakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram