
INGIN melancong ke Rom, Itali? Fikir dulu, ini kerana kawasan tersebut baru-baru ini telah mencatatkan suhu mencecah 30 darjah celsius seawal pukul 9.30 pagi.
Olivia Ansari dari New Zealand menunggu bersama pelancong lain di luar banggunan Katakomb Saint Callixtus di Rom, untuk berteduh di bawah tanah daripada bahang musim panas terik di Itali.
Dengan suhu yang menyegarkan sekitar 15 darjah celsius, Katakomb tersebut menjadi tempat perlindungan yang popular kebelakangan kerana suhu di Kota Abadi itu hampir mencecah 40 celsius. Ini termasuk pelawat lain yang memilih berjalan kaki pada waktu malam.
BACA LAGI: 'Doodling' teknik pembelajaran unik, bentuk visualisasi pemikiran
BACA LAGI:Art of Speed 2025 kekal 'garang', simbol kekuatan dunia modifikasi permotoran
Orang ramai mengambil gambar di hadapan Colosseum di pusat bandar Rom pada waktu malam.
“Kalau kami boleh tangguhkan perjalanan ini, memang kami akan buat tapi semuanya dah ditempah,” kata Ansari, 32 yang melancong ke Itali bersama ibu dan ibu saudaranya.
“Kami tempah lawatan paling awal pukul 7.30 pagi, dan sasarkan untuk pulang sebelum tengah hari,” katanya sambil berteduh di bangku batu yang redup berhampiran Appian Way.
Mereka tidak keluar semula sehingga pukul 5 petang dan seperti di banyak negara Mediterranean, mereka menunda waktu makan malam tiga jam lebih lewat pada pukul 9 malam.
Di pusat bandar Rome, Rafael Falcao juga memilih untuk berada di bawah tanah Krypta Sami Kapusin di via Veneto akibat cuaca panas. Dia juga terpaksa ubah rancangannya apabila gelombang haba yang melanda selatan Eropah naik lagi pada bulan Ogos.
“Semalam, kami sewa kereta kecil untuk melawat sekitar bandar sebab terlalu panas untuk berjalan kaki,” kata lelaki Brazil itu.
Wanita Poland, Patricia Kolodziej, 41, yang tinggal di Britain berkata, dia sukar mencari aktiviti yang sesuai untuk anak kecilnya dalam cuaca panas itu.
Namun dia berjaya mendapatkan tiket untuk kemasukan terakhir ke Colosseum, amfiteater purba Rom yang wajib dikunjungi pelancong.
“Kami pilih untuk lebih banyak berjalan-jalan pada waktu malam,” kata Kolodziej.
Beberapa langkah dari situ, di bawah bayangan Colosseum, seorang pelancong Asia yang enggan memberikan nama kelihatan hampir pengsan sambil dahinya berpeluh.
“Kami memang datang lewat dengan sengaja, tapi tetap tak membantu,” katanya.
Laman web Booking.com meramalkan pada Oktober lalu bahawa pelancongan waktu malam akan menjadi salah satu trend utama 2025.
Syarikat itu menyalahkan peningkatan suhu akibat perubahan iklim, serta masalah pelancong berlebihan. Beberapa lokasi terkenal di Rom kini menawarkan aktiviti malam, termasuk Circus Maximus dan Colosseum yang dibuka lewat malam, dua kali seminggu.
Pada masa sama, Madison Thibert dari North Dakota, Amerika Syarikat, juga berjaya menikmati keindahan monumen purba itu disinari cahaya bulan.
“Kami hanya berjalan-jalan, melihat Air Pancut Trevi, singgah di Colosseum. Kami juga menaiki skuter di sekitar jalan.
“Cuacanya jauh lebih sejuk, tiada orang langsung. Memang sempurna,” katanya.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram