
BERDASARKAN data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan bayi lelaki melebihi bayi perempuan pada nisbah 108 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Daripada jumlah tersebut, kelahiran bayi lelaki direkodkan sebanyak 48,444, mengatasi kelahiran bayi perempuan iaitu 44,991.
Data terbaharu itu sekali gus menjadi satu topik hangat yang menjadi bualan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira umur.
BACA LAGI: Bahaya stres melampau, suami isteri, ahli keluarga mahupun kekasih sering jadi sasaran
BACA LAGI: 'Anak-anak rasa dihargai', pelukan ibu jadi kekuatan di gelanggang sukan
Namun di sebalik angka yang kelihatan ‘menguntungkan’ itu, tersembunyi satu realiti yang membimbangkan.
Hakikatnya, lelaki di Malaysia berdepan risiko meninggal dunia lebih awal berbanding wanita, dengan nisbah mengejutkan 133 kematian lelaki bagi setiap 100 wanita.
Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, walaupun kelahiran bayi lelaki lebih ramai, risiko mereka menghadapi kematian awal jauh lebih tinggi.
Menurut beliau, faktor biologi hanyalah sebahagian daripada jawapannya.
"Embrio lelaki pada asalnya lebih kuat, tetapi setelah lahir, bayi lelaki lebih mudah terdedah kepada masalah kesihatan berbanding bayi perempuan.
"Selain itu, gaya hidup berisiko juga mempercepat kadar kematian lelaki.
"Merokok, pengambilan dadah, tabiat memandu berbahaya serta terdedah kepada penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung dan diabetes menjadi antara penyebab utama," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, fenomena itu juga menjelaskan faktor bilangan warga emas wanita lebih ramai berbanding lelaki.
"Data populasi 2024 menunjukkan jumlah lelaki meningkat kepada 18 juta berbanding 17.9 juta pada 2023, manakala jumlah wanita bertambah kepada 16.3 juta daripada 16.2 juta.
"Jangka hayat lelaki di Malaysia dianggarkan 73 tahun berbanding 78 tahun bagi wanita, dengan perbezaan hampir lima tahun.
"Keadaan itu akan menyebabkan fenomena 'Feminisation of Ageing' yang mana, perempuan lebih ramai hidup menua (umur panjang) berbanding lelaki," katanya.
Lelaki yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat berisiko mengurangkan jangka hayat mereka. — Gambar Hiasan/Janaan Ai
Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan lelaki di luar sana untuk mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk pemakanan seimbang, bersenam dan pemeriksaan kesihatan berkala bagi mengurangkan risiko penyakit serius.
Menurutnya, kesedaran terhadap gaya hidup sihat bukan sahaja memanjangkan jangka hayat lelaki, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup mereka pada usia tua.
"Bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup tak sihat, cuba berubah untuk menjalani gaya hidup lebih baik.
"Berhenti merokok dan hindari salah guna bahan terlarang seperti arak dan dadah.
"Tabiat ini bukan sahaja mempercepat kemerosotan kesihatan, malah merampas peluang mereka untuk menikmati usia emas bersama keluarga.
"Dengan kadar kelahiran menurun dan jangka hayat lelaki lebih pendek, isu kesihatan lelaki kini memerlukan perhatian serius daripada masyarakat dan pihak berkuasa," katanya menutup bicara.
Kesimpulannya, angka kelahiran mungkin memihak kepada lelaki, tetapi usia panjang selalunya menjadi milik wanita.
Realiti itu seharusnya membuka mata bahawa kesihatan lelaki bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram