
KEGAGALAN beberapa pegawai polis mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13, didakwa menjadi punca tercetusnya gelombang JusticeForZara yang kini menuntut keadilan di seluruh negara.
Pasukan peguam yang mewakili ibu arwah, Noraidah Lamat, 45, berkata perkara itu merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, pada Jumaat yang memaklumkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sudah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST).
Menurut kenyataan itu, kertas siasatan berkenaan membabitkan Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP) serta seorang pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
BACA LAGI: Kes Zara: Keterangan 3 pegawai kanan polis dirakam
"Kesemua pegawai tersebut didakwa gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menyiasat kes kematian Zara Qairina.
“Kami menyokong siasatan tersebut. Gelombang JusticeForZara di seluruh negara tidak akan berlaku jika pegawai penyiasat menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang sebaik menerima maklumat kematian Zara pada 17 Julai 2025,” jelas kenyataan itu pada Sabtu.
Peguam keluarga Zara Qairina turut menegaskan pihaknya berharap tindakan tegas diambil sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP.
“Kami berharap gelombang JusticeForZara menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan semua kes kematian meragukan disiasat dengan telus dan berlandaskan SOP sejak laporan pertama dibuat.
“Pada masa sama, kami masih menunggu tarikh inkues ditetapkan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Kenyataan bersama itu ditandatangani pasukan peguam yang terdiri daripada Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram