'Anak-anak rasa dihargai', pelukan ibu jadi kekuatan di gelanggang sukan


  • Massa
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Sokongan ibu bapa memberi impak besar kepada semangat dan motivasi anak dalam apa jua keadaan. — Gambar media sosial

SEORANG pemain muda yang tewas di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Selangor baru-baru ini menitiskan air mata. Namun, kekecewaannya reda sebaik sahaja dipeluk erat ibunya yang berada di tepi gelanggang.

Adegan ringkas itu bukan sahaja menyentuh hati penonton, malah menjadi simbol betapa pentingnya sokongan ibu bapa dalam perjalanan anak-anak yang menceburi dunia sukan.

Pengguna Facebook, Mohsen Amdan yang menyaksikan sendiri detik berkenaan berkata, ia membuktikan kehadiran ibu bapa mampu menjadi sumber kekuatan luar biasa buat anak-anak.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Lebuh raya di Malaysia tiada lorong laju, hanya laluan memotong', nahas di Kesas patut jadi iktibar

BACA LAGI: Wanita warga asing tarik tudung, serang pegawai Imigresen di KLIA, KPISM tuntut tindakan tegas tanpa kompromi

“Walaupun usia mereka bukan lagi kanak-kanak, pelukan ibu tetap memberi ketenangan. Malah, seorang lagi pemain yang melihat situasi itu pasti turut merasai betapa berharganya sokongan seorang ibu,” katanya.

Mohsen turut berkongsi perbezaan sikap ibu bapa dahulu dan sekarang dalam memberi dorongan kepada anak-anak.

“Dulu, walaupun anak mewakili sekolah hingga ke peringkat negeri, belum tentu ibu bapa hadir memberikan sokongan. Tidak ramai yang sanggup bercuti, menyewa homestay, menempah baju atau menaja pasukan sekolah.

“Tetapi sekarang, ramai ibu bapa sanggup berkorban masa dan wang ringgit demi kejayaan anak mereka,” jelasnya.

Bagi Mohsen, sukan bukan sekadar soal menang atau kalah, tetapi perjalanan panjang yang penuh dengan kenangan yang tidak mahu dilepaskan oleh ibu bapa.

Di media sosial, ramai warganet turut berkongsi pandangan bahawa sokongan ibu bapa memberi impak besar kepada semangat dan motivasi anak.

Seorang pengguna, Daniel Klumai berkata, galakan untuk anak-anak bersukan juga membantu mereka mengurangkan masa dengan telefon bimbit.

“Kalah bukan isu utama, asalkan mereka tinggalkan gajet seketika dan sibuk dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Manakala Mat Erol Hairulnizam pula berpendapat, sokongan ibu bapa menjadikan anak-anak lebih bersemangat untuk membanggakan keluarga, bukan sahaja dalam bidang sukan malah juga akademik.

Sementara itu, seorang ibu, Nora Akma, berkata pengalaman menemani anak bersukan memberi peluang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Kami bukan sekadar hadir ke pertandingan, tetapi masa itu kami gunakan untuk memberi galakan, nasihat dan kasih sayang,” katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram