Langkah bijak MARA atasi buli tunai hasrat rakyat, setidaknya boleh bantu pesara tentera, polis


  • Massa
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Asyraf Wajdi (lima dari kiri) bersama kumpulan pertama warden yang akan memulakan tugas di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang bermula Isnin.

GEJALA buli di sekolah berasrama penuh yang masih berlaku meskipun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan mendorong Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil langkah tegas melantik pesara polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pelantikan itu adalah inisiatif baharu bagi memastikan isu buli dan salah laku disiplin dapat dibanteras, selain menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat dan sejahtera.

“Kumpulan pertama warden akan memulakan tugas di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang bermula Isnin depan.

BACA LAGI: Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli

BACA LAGI: 'Teruskan berjuang dan jangan berhenti berharap', bapa Zulfarhan titip kata-kata semangat buat keluarga Zara Qairina

“Kesemua warden terpilih melalui siri tapisan ketat termasuk sesi temu bual komprehensif bagi memastikan mereka memenuhi kriteria ditetapkan.

“Warden di MRSM bukan sekadar menjaga asrama, sebaliknya menjadi pendidik watak dan ibu bapa kedua kepada pelajar.

"Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatan kita ialah mendidik, memulih dan berlaku adil,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Langkah MARA itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pengguna media sosial.

Pesara tentera, AlverLouie Anthony berkata, pelantikan veteran ATM sebagai warden mampu mewujudkan suasana berdisiplin dan teratur, seperti di kem tentera.

“Kalau boleh, ambil veteran berumur bawah 50 tahun, sihat, berwibawa serta lantang bersuara.

"Lebih baik lagi jika mereka bekas anggota polis tentera atau jurulatih infantri yang berpengalaman.

“Peraturan yang boleh dikuatkuasakan antaranya, pelajar tidak dibenarkan berkeliaran selepas pukul 6.30 petang, wajib belajar malam hingga 10.30 malam, lampu ditutup pukul 11.59 malam, wajib menunaikan ibadah mengikut agama masing-masing dan bangun jam 5 pagi untuk bersarapan.

“Jika peraturan ini dipraktikkan di sekolah berasrama penuh, saya yakin budaya buli dapat dihapuskan. Tidak perlu kajian panjang, laksanakan terus kerana ramai veteran ATM akan menyokong,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Zulkernain Wook, pula mencadangkan langkah itu harus dijadikan standard di semua sekolah berasrama penuh memandangkan jumlah pesara tentera yang bersara pada usia 40-an setiap tahun mencukupi untuk menampung keperluan.

Seorang lagi pengguna, Adek Mat, menyifatkan keputusan MARA sebagai tindakan berani dan proaktif.

“Bekas tentera dan polis penuh disiplin, berpengalaman dan bersemangat kental untuk membentuk watak pelajar.

"MRSM wajar menjadi model asrama terbaik negara yang selamat, beradab dan bebas buli,” katanya.

Melalui pelaksanaan inisiatif itu juga, ada dalam kalangan warga maya berharap persekitaran di MRSM akan menjadi lebih selamat dan kondusif, sekali gus menghapuskan budaya buli yang sekian lama menghantui sekolah berasrama penuh.

Langkah itu diharap dapat menjadi contoh kepada institusi pendidikan lain dalam memastikan keselamatan serta pembentukan sahsiah pelajar sentiasa menjadi keutamaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram