
TINDAKAN aktivis yang dikenali sebagai Abbe Hae ketika membantu seorang bekas banduan untuk mendapatkan pekerjaan baru-baru ini menerima pujian ramai.
Menerusi video dimuat naik di Facebooknya pada Ahad, Abbe atau nama sebenarnya, Mohd Azhan Mohd Adnan, 56, memberi sinar baharu buat bekas banduan yang dipanggil sebagai Along.
Menurutnya, Along ditemui berlegar mencari kerja dan menjalani hidup seperti gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Bergelar anak yatim usia 3 tahun, Ayesha Farooq jadi wanita pertama tembak jatuh jet Rafale India
Along yang berusia sekitar 20-an itu dikatakan pernah tersasar dan bertekad untuk berubah selepas keluar dari penjara di Kajang, Selangor.
"Along ingin keluar dari tempatnya kerana tidak ingin terjebak lagi.
"Dua minggu Along berlegar mencari kerja dan tidur di surau sekitar ibu kota tanpa dapat sebarang pekerjaan dengan duit pun tiada ditangan.
"Kebetulan Abbe berada di Chow Kit dan ALLAH temukan kami.
"Abbe terus hubungi seorang kenalan yang sebelum ini pernah hubungi untuk mencari seorang pekerja di Pulau Tioman, Johor dan kerja itu milik Along," tulisnya.
Bukan itu sahaja, Abbe juga sanggup menampung kos pengangkutan dan tambang bas Along untuk ke Mersing, Johor.
Tindakan itu secara tidak langsung meraih perhatian ramai kerana memberi peluang kedua buat bekas banduan terbabit.
"Bagus abang buat macam ini, tolong cari kerja untuk mereka," komen Daus Abdullah.
"Setuju, mereka berhak diberi peluang untuk berubah dan bekerja," sokong Mhd Naufal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram