
LUPAKAN Musang King dan Black Thorn seketika kerana Tupai King kini kembali untuk menuntut mahkotanya dalam kumpulan durian.
Temui Tupai King, pesaing berani dalam dunia durian premium dan mencipta gelombang baharu sebagai varian bagi merebut tahta 'Raja Buah'.
Menurut petani Chew Chee Wan, varian tersebut mempunyai rasa dan tekstur unik walaupun warna isinya sedikit pucat dengan kombinasi hitam kebiruan.
BACA LAGI: Selain tambah pahala, sunat hukumnya bagi suami tunai solat 2 kali semata mahu jemaah dengan isteri
Durian Tupai King yang berbentuk bujur dan warna kulitnya sedikit pucat. — Durianed
"Ia mempunyai tekstur berkrim yang pekat dengan rasa pahit manis tajam serta mempunyai aroma tapaian," katanya.
Chew juga pertama kali menemui durian unik itu 20 tahun lalu di Sungai Ara, Pulau Pinang dan serta-merta mengetahui ia adalah sesuatu yang istimewa.
"Kali pertama saya merasai buah itu, saya rasa ia sangat sedap. Serta-merta, saya lihat potensi dan nilai yang besar dalam Tupai King.
"Saya berkongsi dengan petani lain, tetapi ramai yang teragak-agak kerana Musang King dan Black Thorn sudah menguasai pasaran.
"Namun, hari ini, berkat pengeluarannya yang terhad dan rasa yang luar biasa, semakin banyak permintaan untuk Tupai King.
"Nasib baik saya menemuinya lebih awal dan kini mempunyai kira-kira 50 pokok matang di dusun saya," katanya.
Tambahnya, varieti itu sudah didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pertanian pada 2021 dengan nama Tupai 226 berserta kod kultivar D214.
Nama Tupai King yang juga bermaksud 'Raja Tupai' itu diinspirasikan daripada kedai durian Chew iaitu Cap Tupai.
Musim durian bagi 2025 pula dijangka bermula pada penghujung Mei dengan Tupai King dijangka menjadi sensasi apabila buah-buahan itu mulai memasuki pasaran dari pertengahan Jun hingga Ogos ini.
Seorang lagi pemilik dusun, Eric Yeap percaya bahawa Tupai King sudah bersedia untuk memerintah musim durian kali ini.
Yeap bersama Tupai King di dusunnya di Teluk Bahang, Pulau Pinang. — The Star
Katanya, varian durian itu kini dijual hampir dua kali ganda harga Musang King dan Black Thorn dengan harga semasa sekitar RM130 sekilogram berbanding RM80 untuk Musang King dan RM90 untuk Black Thorn.
"Apabila dieksport ke pasaran seperti Hong Kong, China, Tupai King boleh mencecah sehingga RM250 sekilogram," katanya.
Yeap memiliki tujuh dusun seluas kira-kira 53 hektar di Teluk Bahang.
Daripada lebih 2,000 pokoknya, hanya 80 pokok Tupai King dengan hanya 20 pokok yang cukup matang untuk berbuah.
"Setiap buah mempunyai berat antara 1.8 kilogram (kg) dan 2.5kg.
"Tetapi, tahun lepas (2024), saya mempunyai buah yang beratnya mencecah 3.4kg," katanya sambil tersenyum.
Meskipun begitu, Yeap mengakui rayuan Tupai King mungkin tidak universal.
"Buahnya kelihatan tidak menarik dengan kulitnya yang tebal.
"Isi dalamnya yang kelihatan pucat lagi gelap dengan kepahitan juga mungkin tidak digemari sesetengah orang.
"Ia juga mempunyai rasa gas yang kuat sehingga sehingga boleh menyebabkan lidah anda kebas," katanya.
Katanya, musim kali ini sangat mencabar buat rata-rata petani durian kerana cuaca tidak menentu.
"Hujan lebat yang berterusan semasa musim pokok berbunga menyebabkan banyak tunas gugur sebelum waktunya.
"Saya menjangkakan penurunan hasil sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus berbanding tahun lepas (2024)," jelasnya. — The Star/LO TERN CHERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram