[VIDEO] Seorang mangsa FRU alami pendarahan hati tahap 3, rakan dan sepupu mohon doa ramai


  • Massa
  • Rabu, 14 Mei 2025

Kemalangan ngeri yang mengorbankan seramai sembilang anggota FRU di Teluk Intan, Perak pada Selasa.

SEORANG daripada mangsa yang cedera dalam nahas membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan pemandu lori muatan batu di Teluk Intan, Perak pada Selasa dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.

Menerusi perkongsian dimuat naik kenalannya di Facebook, mangsa, Sarjan Mohd Parih Ali, 44, dikatakan menjalani pembedahan akibat mengalami pendarahan hati tahap tiga.

Menurutnya, maklumat tersebut diterima daripada isteri mangsa yang merupakan rakan sekolah isterinya. 

BACA LAGI: Pemandu lori direman, 5 anggota FRU terlibat nahas masih kritikal

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan terus imbas, scammer letak surat saman ‘Akta Pengangkutan Jalam’ dekat parkir pasar raya

"Minta rakan-rakan doakan mangsa supaya sembuh. Malam tadi (Selasa) kritikal dan pagi ini (Rabu) jalani pembedahan," tulis Zam BT.

Manakala, sepupu mangsa turut memohon kerjasama orang ramai agar mendoakan kesembuhan Mohd Parih.

"Mohon doakan abang sepupu saya, Mohd Parih Ali antara anggota yang terlibat dalam kemalangan FRU di Teluk Intan.

"Apa yang diberitahu, mangsa patah tangan, patah belakang dan ada pendarahan di kepala.

"Mohon doakan keselamatan, kesembuhan sepenuhnya buatnya dan dipermudahkan urusannya," mohon Arra Yuniey.

Sementara itu, mangsa merupakan seorang daripada sembilan anggota yang cedera.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, A. Sivanesan memaklumkan, lima anggota FRU yang cedera dalam kemalangan itu masih berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, empat daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Teluk Intan manakala seorang di wad ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram