[VIDEO] Tak lokek rezeki, lelaki sedekah kek terakhir buat ibu hamil, jadi contoh terbaik depan anak bini


  • Bonda
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Tangkap layar daripada video pendek memaparkan lelaki tersebut mengamalkan sikap pemurah terhadap orang tidak dikenalinya.

SIKAP pemurah dan toleransi terhadap orang lain merupakan satu nilai murni, lebih-lebih lagi sekiranya perkara tersebut dilakukan kepada seseorang yang tidak dikenali.

Ini kerana sikap sedemikian mampu menzahirkan rasa syukur dalam diri individu yang berkemungkinan berdepan masalah atau kurang berkemampuan dalam mendapatkan sesuatu.

Itulah apa yang disaksikan dalam sebuah video dikongsikan menerusi laman Facebook, Sam Lim Media memaparkan nilai murni tersebut di antara dua pihak yang tidak mengenali antara satu sama lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Sesat di stesen tren KL, pelancong China terharu dibantu pakcik baik hati

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal berkali-kali tak halang Alhafiz jadi lebih pemurah, bantu ramai rider kesusahan

Dalam video pendek tersebut, kelihatan seorang lelaki bersama keluarganya singgah di sebuah gerai menjual kek coklat dengan dia berminat untuk membeli produk itu.

Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, gerai tersebut didatangi seorang wanita mengandung hadir untuk mendapatkan makanan tersebut, namun tidak berkesempatan kerana ia sudah habis dijual.

Menyedari kekecewaan itu, lelaki tersebut bertindak menghulurkan kek coklat berkenaan kepada individu tidak dikenali itu atas dasar pemurah dan simpati.

Meskipun pemberiannya tersebut pada awalnya ditolak dengan baik, pembeli terbabit bertegas dengan ia menunjukkan keikhlasannya tanpa meminta wang ringgit daripada wanita itu.

Sikap murah hati berkenaan dihargai dengan ucapan terima kasih selain sempat dirakam salah seorang pekerja yang secara kebetulan membuat siaran langsung dari gerai terbabit.

Momen menyentuh hati itu membuatkan rata-rata pengguna media sosial tersentuh dengan kemuliaan ditonjolkan kerana ia tidak langsung menjadi contoh teladan kepada anaknya.

"Terima kasih abang kerana masih bertoleransi. Isteri dan anak mungkin faham. Kalau saya pemilik kedai itu, saya suruh abang datang pada hari kemudian dan sedekah kepadanya," kata Ahmad Nabil Talip.

"Aku tak rasa isteri kepada lelaki itu marah, tetapi bangga kerana dapat bahagiakan ibu lain yang hamil. Lagipun, aku yakin dia faham konsep rezeki. Hal ini ALLAH dah tulis, bukan rezeki mereka sahaja tetapi mungkin rezeki ibu hamil itu," kata Natrah Safarin.

"Anak dia dapat pelajaran malam itu, buat baik pada orang, Insya-ALLAH akan ada balasan rezeki yang berlipat kali ganda. Ayah adik tu buat kebaikan di hadapan anak sendiri, contoh terbaik," tulis Puterizetty Rezett. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram