Kenali 3 wanita diceraikan tetapi memiliki kedudukan mulia di sisi TUHAN


  • Cinta
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Perkahwinan yang adalah ladang ujian, maka teruskan bersabar dan redha demi meraih darjat yang tinggi di sisi ALLAH. - Gambar hiasan

DUNIA adalah pentas kehidupan yang sangat luas. Adakala apa yang kita impikan berjaya dicapai dan menjadi realiti.

Bagaimanapun, tidak semua yang kita rancang akan berjalan seperti yang diharapkan. Perkahwinan contohnya, meskipun dibina atas nama cinta dan kasih sayang, tetap juga ia diuji dengan perpisahan. 

Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, air mata, kekecewaan dan stigma masyarakat sering membayangi wanita yang diceraikan, seolah-olah mereka dianggap gagal dalam hidup. 

BACA LAGI: Lima sifat Sayyidah Khadijah al-Kubra wajar diteladani wanita berkerjaya hari ini

BACA LAGI: Ibu bapa perlu ambil tahu, ada 2 hukum berbeza ketika mandikan janin bayi yang gugur dalam kandungan

“Itulah pandangan manusia yang melihat apa yang berlaku hanya dari satu sisi iaitu kelemahan atau keburukan.

“Sebaliknya, Islam tidak pernah memandang perceraian sebagai satu kehinaan kerana ia adalah perkara yang halal dan sebagai jalan keluar terakhir jika tidak ada lagi persefahaman, kasih sayang atau jika berlaku kezaliman,” jelas Ustazah Rohamiah kepada Majoriti.

Menurut beliau, hal ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perkara halal yang paling dibenci oleh ALLAH adalah talak.”

Ustazah Rohamiah Muda

“Hadis ini menunjukkan walaupun talak itu diharuskan, ia bukanlah sesuatu yang disukai oleh Allah SWT. Malah, perceraian bukanlah satu dosa selagi ia dilakukan mengikut syariat, tetapi ia tetap langkah terakhir selepas semua usaha damai telah gagal,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara berkaitan perceraian sangat penting dalam agama kita. Ia dibuktikan apabila terdapatnya satu surah di dalam al-Quran iaitu surah at-Talaq.

“Kalimat ‘talaq’ dari segi bahasa bermaksud ‘melepaskan’ yang membawa makna perceraian. Apabila sesuatu itu tidak dapat lagi dipegang kerana ada sesuatu yang menghalang kebahagiaan, lebih baik ia lepaskan ikatan perkahwinan dengan cara yang baik,” katanya lagi.

Dalam situasi berdepan perceraian, Ustazah Rohamiah memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Perbendaharaan orang Mukmin itu adalah Tuhannya.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

“Daripada hadis ini, maknanya bagi wanita beriman mereka meyakini, walau diuji dengan perpisahan, rezeki dan kebahagiaan tetap dijaga oleh ALLAH SWT. 

“Hakikatnya, perceraian bukanlah penamat kehidupan, tetapi ia boleh menjadi pintu kepada ketenangan, kemuliaan dan pengganti yang lebih baik. 

“Kisah para wanita agung dalam sejarah Islam menjadi bukti nyata bahawa wanita yang diceraikan tidak kalah bahkan mereka dimuliakan oleh ALLAH SWT kerana iman dan ketabahan dalam diri,” tegas beliau.

Jom ikuti kisah 3 wanita yang diceraikan, namun beroleh kemuliaan di sisi ALLAH SWT seperti yang diceritakan Ustazah Rohamiah:

1. Zainab binti Jahsy RA

Diceraikan suami, tetapi diangkat menjadi Ummahatul Mukminin. Beliau adalah Zainab binti Jahsy RA, pernah menjadi isteri kepada Zaid bin Harithah RA iaitu anak angkat Rasulullah SAW. 

Perkahwinan mereka adalah perintah ALLAH SWT untuk menghapuskan sistem kasta dan darjat sosial yang memisahkan manusia. 

Tetapi, rumah tangga mereka tidak bahagia dan berakhir dengan perceraian.

Namun lihatlah bagaimana ALLAH SWT memuliakannya apabila Zainab kemudian dinikahkan dengan Rasulullah SAW sekali gus menjadikannya salah seorang Ummahatul Mukminin iaitu ibu bagi seluruh orang beriman.

Perintah tersebut dinyatakan melalui wahyu yang diturunkan dalam Surah Al-Ahzab ayat 37 iaitu firman ALLAH SWT yang bermaksud: 

“Dan (ingatlah) ketika engkau (wahai Muhammad) berkata kepada orang yang telah dikurniakan ALLAH nikmat dan engkau sendiri telah memberi nikmat kepadanya: 'Peganglah isterimu (Zainab) dan bertakwalah kepada ALLAH. Dan engkau menyembunyikan dalam hatimu apa yang ALLAH hendak nyatakan, dan engkau takut kepada manusia, padahal ALLAH lebih berhak engkau takuti. Maka apabila Zaid telah menyelesaikan keperluannya terhadap isterinya (yakni menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengan dia supaya tidak menjadi kesempitan kepada orang-orang beriman untuk berkahwin dengan isteri anak angkat mereka, apabila anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya terhadap isterinya. Dan adalah ketetapan ALLAH itu pasti berlaku.”

Ibrah: Walaupun diuji dengan perpisahan dengan suaminya, Zainab tidak kecewa atau membenci takdir. Beliau tetap sabar, redha dan akhirnya ALLAH mengangkat darjatnya ke kedudukan yang tiada bandingan.

2. Fatimah Binti Qais RA 

Beliau memilih untuk menuruti nasihat Nabi SAW dan akhirnya bertemu kebahagiaan.

Fatimah binti Qais RA adalah seorang wanita berilmu dan bijaksana. Suaminya, Abu Amr bin Hafs RA, menceraikannya dengan talak tiga. 

Nabi Muhammad SAW menasihatinya untuk menunggu iddah tanpa tuntutan nafkah, kerana talak itu adalah talak ba’in. 

Selesai iddah, Fatimah dilamar oleh dua orang lelaki iaitu Muawiyah dan Abu Jahm.

Namun Rasulullah SAW menyarankan agar beliau berkahwin dengan Usamah bin Zaid RA, seorang pemuda yang soleh walaupun bukan orang ternama ketika itu. 

Fatimah patuh pada nasihat Rasulullah SAW dan kehidupannya selepas itu penuh kebahagiaan dan kebaikan.

Ibrah: Kesetiaan kepada petunjuk Nabi SAW membawa keberkatan hidup. Walau diceraikan, Fatimah tidak kecewa atau tergesa mencari pengganti sebaliknya dia menanti dengan bijaksana dan ALLAH hadiahkan ketenangan serta suami yang baik buatnya.

3. Asma' Binti Abu Bakar RA 

Wanita mulia ini terus bertahan dalam ujian rumah tangga yang sangat mencabar.

Asma’ RA yang merupakan puteri Saidina Abu Bakar As-Siddiq adalah isteri kepada Zubair bin Awwam RA, seorang pejuang Islam yang gagah. Walau Zubair bersifat keras dan kurang mesra, Asma’ tetap sabar, taat malah terus menjaga maruah keluarga.

Di usia tua, Zubair akhirnya menceraikannya. Bagaimanapun, Asma’ tidak pernah hilang darjat. Dia terus dihormati oleh generasi sahabat dan tabi’in serta dikenang sebagai wanita solehah yang mulia.

Ibrah: Tidak semua perkahwinan bahagia, namun setiap ujian adalah ruang untuk menunjukkan nilai sabar dan takwa. Bila tiba saat perpisahan, ia bukan kehinaan malah menjadi laluan kepada kemuliaan dan penghormatan, di sisi manusia dan Tuhan.

“Dalam Islam, perceraian adalah pilihan yang dibenarkan jika perkahwinan tidak lagi membawa kebaikan. Ia bukan aib, bukan juga tanda kegagalan dalam kehidupan. Bahkan, ia adalah ruang yang ALLAH buka untuk menyelamatkan hati dan masa depan.

“Wanita-wanita hebat dalam sejarah Islam membuktikan bahawa diceraikan bukan bermakna tidak dihargai. Malah, dengan iman, sabar dan takwa, mereka terus dimuliakan oleh ALLAH dan menjadi teladan sepanjang zaman.

“Maka, jika wanita di luar sana diuji dengan perpisahan, jangan sedih berpanjangan. Ketahuilah bahawa ALLAH melihat kesabaranmu, menghitung air matamu dan sedang merancang sesuatu yang lebih baik untukmu,” pesan Ustazah Rohamiah penuh makna.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik untukmu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk untukmu. ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

 

Artikel Berkaitan: