[VIDEO] Gagal berkali-kali tak halang Alhafiz jadi lebih pemurah, bantu ramai rider kesusahan


Ahmad Alhafiz Najmi mendedahkan banyak membantu penunggang motosikal yang ditimpa musibah.

RATA-RATA peminat dunia permotoran pastinya mengenali pemilik kedai motosikal dan pempengaruh, Ahmad Alhafiz Najmi yang terkenal dengan konten-konten menarik mengenai motosikal di media sosial.

Nama Alhafiz sebelum ini pernah tular apabila dia bertindak memberi hadiah sebuah motosikal kepada seorang penyokong Harimau Malaya yang menjual motornya demi menyaksikan perlawanan akhir Malaysia menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Qatar.

Ternyata, tindakan itu bukanlah kali pertama dilakukan memandangkan dia juga banyak membantu penunggang motosikal lain yang dalam kesusahan sebelum ini.

Pemilik Ahmad Motorworks itu mendedahkan dia pernah membantu seorang lelaki yang nyaris maut dilanggar sebuah lori pada tahun lalu.

"Rider yang saya bantu itu memang pantang ajal sebelum maut.

"Waktu mula-mula dia buat GradFood, jalan licin sebab hujan jadi nyaris maut apabila motosikalnya termasuk bawah lori, nasib badan dia sempat ketepi," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Saya bantu Derrick Gan sebagai tanda sokong Malaysia', pemilik kedai capai target hadiahkan Honda RS150

DIfahamkan, lebih 10 rider yang telah dibantunya tidak mengira kaum, agama dan latar belakang.

Alhafiz berkata, anggaran kos untuk baiki motosikal lelaki berkenaan kira-kira RM500 tetapi dia memilih membaiki secara percuma sahaja kerana simpati akan nasib malang yang ditempuhi mangsa.

Selain itu, bapa kepada empat orang anak itu juga pernah membaiki motosikal seorang pelanggan yang dihempap sebuah pokok dalam kejadian pada 1 November 2023.

"Waktu itu kes di Jalan Tago, Seri Damansara, rider terbaring jatuh akibat kena hempap pokok, motosikal dia memang teruk," katanya.

Tambahnya, anggaran kos kerosakan motosikal mencecah lebih RM1,500 tetapi dia hanya memberi perkhidmatan secara percuma sahaja.

"Saya tak boleh tengok orang dalam kesusahan, rasa simpati, terutama rider yang guna motornya untuk cari duit," katanya yang berasal dari Cheras, Selangor itu.

BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat

WhatsApp Image 2024-01-29 at 10.04.47 PM

Alhafiz mula membaiki motosikal sejak tahun 2015 lagi.

Tidak mudah untuk berjaya, lelaki berusia 33 tahun itu meluahkan pernah mengalami kegagalan sebelum ini apabila dua kedai motosikal yang dibuka terpaksa ditutup atas sebab tertentu.

Namun, berkat sokongan keluarga tercinta, dia kini mampu memajukan semula perniagaannya dengan berhasrat untuk membantu lebih ramai penunggang motosikal di luar sana.

"Jika dulu saya juga sentiasa fikir tanggungan, komitmen dan lain-lain. Hari ini, saya tidak lagi hanya memikirkan, tapi terus buat keputusan. Jalan sahaja terus yang penting usaha dan doa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram