‘TokTi selebriti paling mencabar untuk digayakan sebab…’, Abu Shaef Hamza kongsi pengalaman 14 tahun sebagai 'stylist'


  • Gaya
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Menurut Abu, beliau suka mencabar dirinya dalam mencipta gay. — Instagram/@abushaefhamza

NAMA Abu Shaef Hamza bukanlah asing lagi dalam dunia fesyen tanah air.

Selama lebih 14 tahun, beliau bukan sekadar mencipta gaya tetapi membentuk naratif, termasuk menerusi video muzik kontroversial Serumpun nyanyian Mimi Fly yang pernah mencetus perbincangan hangat.

Perjalanan kariernya bermula daripada pertemuan penting dengan jurusolek, Ferry Karisma yang membuka pintu dan membimbingnya ke dunia fesyen.

Pereka berdarah campuran Malaysia-Pakistan itu mengakui minatnya terhadap dunia fesyen sudah bermula sejak usia muda.

BACA LAGI: 'Macam tak menua langsung,' wajah terbaharu Datin Seri Camelia ubati kerinduan peminat

BACA LAGI: Kenali 3 wanita diceraikan tetapi memiliki kedudukan mulia di sisi TUHAN

Abu mengakui minat dalam dunia fesyen sejak kecil lagi. 

Menurutnya, kecenderungan itu bukan sekadar hobi biasa, malah sudah sebati dalam dirinya sejak kecil.

“Sejak kecil, saya suka menggayakan ibu saya. Saya suka benda-benda fesyen dan program anugerah di televisyen. Apabila menggayakan seseorang, saya rasa puas.

"Benda itu memang dah ada dalam DNA saya termasuk mengemas rumah dan menyusun barang," katanya ketika memulakan bicara bersama Majoriti.

Permulaan karier

Bercerita lanjut mengenai permulaan kerjayanya, pertemuannya dengan jurusolek Ferry Karisma memberi peluang lebih besar kepadanya.

"Pada usia 18 atau 19 tahun, selepas tamat diploma, Abu menerima tawaran menjadi pembantu jurusolek kepada Ferry Karisma. Dari situ Abu dapat ramai kenalan baharu dalam industri.

“Menjadi pembantu adalah sesuatu yang Abu suka. Abu rasa puas mencantikkan orang ini," tegas lelaki berusia 33 tahun itu.

Namanya mula melonjak naik selepas terlibat dalam projek drama popular Suri Hati Mr. Pilot yang turut mencetuskan idea tanda pagar (hashtag) 'StyledByBu' sebagai identiti jenamanya yang kekal relevan sehingga kini.

Selepas projek itu, peluang dan tawaran dalam bidang pengayaan mula datang bertubi-tubi, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuknya berkembang.

Kontroversi Mimi Fly

Namun, dunia fesyen bukan hanya glamor. Kontroversi Serumpun membuktikan betapa tajamnya reaksi khalayak apabila nilai budaya disentuh.

Penampilan Mimi Fly dalam video itu dikatakan bercanggah dengan adat Melayu yang secara tidak langsung menerima kecaman hebat, lebih-lebih lagi kerana dilancarkan menjelang Hari Raya.

Sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas penampilan tersebut, beliau bagaimanapun tidak menjangkakan bahawa gaya penyanyi berkenaan akan mencetuskan kontroversi.

“Jika mengenali Abu, Abu suka viral. Abu suka menjadi topik perbualan orang. Saya tidak peduli apa orang kata kerana itu cara saya bekerja tetapi kita tahulah halal dan haram. tak adalah suka-suka,” jelas anak sulung daripada dua beradik itu

Walaupun dikecam, beliau tidak melatah, sebaliknya memperbaiki diri dan terus berkarya.

Selain Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain (kiri) dan Yuna juga antara selebriti yang mencabar bagi Abu. — Instagram/@styledbybu

Figura paling mencabar

Bertanyakan pula mengenai personaliti yang paling mencabar untuk digayakan, katanya ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Kerana beliau ialah Biduanita yang disegani. Ia seperti mimpi menjadi kenyataan. Apa sahaja yang beliau gayakan akan dikenang sepanjang hayat," kongsinya.

Begitu juga dengan nama-nama besar lain seperti Ziana Zain, Yuna dan Neelofa yang turut membawa tekanan tersendiri.

"Sebagai penyanyi, mereka mungkin hanya berdiri di pentas selama tiga minit, tetapi tiga minit itu adalah seumur hidup mereka. Apa yang mereka pakai akan direkod dan diingati," tambahnya.

Mengulas mengenai individu atau ikon fesyen yang banyak mempengaruhi gayanya, beliau gemarkan aliran avant-garde.

“DNA Abu ialah avant-garde. Saya suka cabar diri saya,” ujarnya sambil menambah bahawa para selebriti yang pernah bekerjasama dengannya turut menjadi pendorong besar dalam perjalanan seninya.

Tambah Abu, beliau enggan sekadar menjadi pelengkap dalam satu pasukan gaya, sebaliknya beliau mahu menjadi seorang penata gaya yang boleh melakukan segalanya.

Menurut beliau, dalam industri, tidak hanya Abu seorang yang terlibat, malah wardrobe, penata gaya, perunding fesyen dan ramai lagi.

"Definisi saya pula, saya nak jadi penata gaya yang boleh buat semuanya. Alhamdulillah, ALLAH beri rezeki, dapat rasa buat teater, video muzik, majalan dan banyak lagi.

ALLAH hantar mereka dan Abu belajar daripada pengalaman tersebut," katanya.

Bagi Abu, warisan Melayu seperti batik dan songket wajar diketengahkan di mata dunia. — Instagram/@styledbybu

Pandangan industri fesyen tempatan

Beralih kepada pandangannya terhadap industri fesyen tempatan, Abu mengakui dirinya bangga berikutan semakin ramai penggemar fesyen semakin berani untuk bereksperimen.

Penggunaan teknologi dalam fesyen juga semakin meluas. Pun begitu, beliau berpendapat bahawa industri fesyen tempatan masih belum cukup kuat secara keseluruhan.

"Industri kita ni hidup apabila ada acara. Tapi lepas tu, senyap balik. Kita belum cukup kukuh. Sokongan di Malaysia tidak sama seperti di luar negara.

"Di luar, media menyokong pereka dan penata gaya secara menyeluruh. Di Malaysia, kami perlu usaha sendiri untuk tarik perhatian.

"Kita kena buat sesuatu yang luar biasa supaya orang nampak dan hargai. Fesyen adalah perniagaan. Hanya mereka yang faham tentang pemasaran dan strategi akan faham cabarannya," jelas beliau.

Pada masa sama, Abu menekankan tentang pentingnya menjaga batas dan nilai dalam setiap karya.

"Fesyen boleh jadi apa saja. Tapi jangan sampai hilang nilai. Jangan sampai tak ada adab."

Abu juga melihat kekuatan sebenar fesyen Malaysia terletak pada akar budayanya.

"Kita ada batik, kain pelikat, songket dan sebagainya. Itu semua kekuatan kita. Benda-benda ini patut diketengahkan di mata dunia.

"Macam Indonesia. Macam India. Dari jauh pun orang dah tahu tu pakaian mereka. Kita belum sampai situ. Mungkin bukan semua pereka akan ke arah itu, tetapi akan ada waktunya untuk generasi pereka mengangkat semula warisan ini," ujarnya.

Masuk kepada soal keperibadian, Abu berkongsi pegangannya untuk kekal relevan dalam industri terlibat.

"Jangan malas. Itu paling penting. Kena rajin. Kena tahu diri kita kat mana. Kena tahu apa yang kita suka, apa yang kita tak suka. Kena kenal kekuatan dan kelemahan diri.

"Kita hanya akan tahu semua ini apabila kita mencuba. Cuba saja semua. Dari situ baru kita tahu kita ni siapa. Dekat mana kita kuat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram